Anak Malaysia cipta komposit getah untuk belon aeroangkasa

Ismail Sabri melawat ke ruang pameran selepas merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 pada Selasa. - Foto Bernama
Ismail Sabri melawat ke ruang pameran selepas merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil penyelidikan yang diterajui anak Malaysia berjaya mencipta komposit getah generasi baharu yang akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan merupakan yang pertama seumpamanya di dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata komposit getah generasi baharu itu dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli menerusi penyelidikan dengan kerjasama universiti terkemuka dunia.

"Penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara,” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata di samping itu, Malaysia turut terkenal sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutama sarung tangan getah yang telah menembusi hampir 190 negara.

"Sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini, Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama yang bernilai tinggi,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia juga perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika, dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.

"Malah produk kayu bersijil dari Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Beliau berkata, sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan mampu menghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam. - Bernama