28 guru di Melaka alami kemurungan

Seramai 28 daripada 648 guru di Melaka yang mengambil Saringan Stres, Kebimbangan dan Kemurungan (DASS) dikesan mengalami kemurungan. (Gambar hiasan)
Seramai 28 daripada 648 guru di Melaka yang mengambil Saringan Stres, Kebimbangan dan Kemurungan (DASS) dikesan mengalami kemurungan. (Gambar hiasan)
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 28 guru atau 4.32 peratus daripada 648 guru di Melaka yang mengambil Saringan Stres, Kebimbangan dan Kemurungan (DASS) dikesan mengalami kemurungan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, selain itu, 23 guru atau 3.54 peratus daripada mereka dikesan berada pada tahap stres berdasarkan ujian yang dijalankan ke atas mereka oleh Sektor Psikologi dan Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Ujian berkenaan dilaksanakan untuk mengukur tahap stres dan kemurungan guru di Melaka dan 648 daripada 13,976 guru yang dikenal pasti menghadapi tekanan telah menjawab saringan tersebut secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Justeru, pelbagai tindakan diambil untuk membantu golongan guru berkenaan antaranya sesi kaunseling dan Program 3PI iaitu Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini pada Selasa.

Dr Akmal (BN-Merlimau) menjawab soalan tambahan dikemukakan Hameed Myhtheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) yang ingin mengetahui isu guru bersara awal di Melaka dan puncanya.

Dr Akmal mewakili Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin yang bercuti kerana sedang menunaikan haji.

Dr Akmal berkata, selain itu, program meningkatkan kesedaran kesejahteraan psikologi guru turut dilakukan bagi membendung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, sehingga hari ini, sebanyak 212 guru di negeri itu memilih bersara awal berbanding 164 orang pada tahun lepas disebabkan beberapa faktor antaranya isu kesihatan guru atau pasangannya, guru tersebut telah mencapai tempoh 25 tahun perkhidmatan, tiada lagi tanggungan anak kerana mereka telah bekerja atau berumah tangga dan mereka ingin berehat.

"Ada juga antara guru berkenaan yang memilih bersara awal kerana mereka tidak bersedia untuk diberikan tanggungjawab dalam bidang pentadbiran apabila diberikan penempatan baharu khususnya bagi guru gred 52 dan 54," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) berkaitan perancangan untuk membina sekolah di Melaka, Dr Akmal berkata, kerajaan negeri telah membuat permohonan peruntukan berjumlah RM68.8 juta daripada kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membina 13 Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka yang baharu. - Bernama