Masalah mat rempit memang tak habis

Seorang remaja ditahan kerana berlumba haram dalam operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di dua lokasi tumpuan mat rempit di Pulau Pinang pada Januari lalu.
Seorang remaja ditahan kerana berlumba haram dalam operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di dua lokasi tumpuan mat rempit di Pulau Pinang pada Januari lalu.
A
A
A

MENGIKUT definisi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), samseng jalanan digunakan bagi menggantikan istilah mat rempit yang diberi kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram.

Justeru, berdasarkan hujah ini, Merak Jalanan tidak melihat justifikasi untuk membina litar khas bagi 'menghalalkan' kegiatan mereka.

Maaf cakap, ia bukan cara selamat untuk mengatasi masalah lumba haram dan jika ada pun, berapa kerat sahaja mat rempit yang mahu berlumba di atas litar tersebut?

Tambahan pula, tiada jaminan bahawa nyawa mereka selamat apabila berlumba di atas litar khas kerana mat rempit terkenal dengan cara pengendalian motosikal yang membabi buta.

Merak Jalanan percaya, ia tidak mendapat sambutan kerana adrenalinnya sudah tentu berbeza.

Tambahan pula tiada habuan (wang tunai dan perempuan) selepas habis berlumba.

Dan jika sediakan litar lumba sekali pun, mereka tidak akan berhenti berlumba secara haram kerana mentaliti mereka sudah begitu.

Teringat Merak Jalanan dengan pertanyaan rakan sepejabat.

Katanya, perkara itu (berlumba haram) terang-terangan salah, kenapa pula hendak dihalalkan dengan mencari alternatif lain untuk membenarkan mereka berlumba?

Bagi Merak Jalanan, membina atau menyediakan laluan khas kepada mat rempit adalah satu pendekatan yang salah.

Sebaiknya, tindakan dan hukuman lebih berat perlu diambil bagi 'memperlahankan' kegiatan ini.

Kita serahkan kepada pihak berwajib bagi menangani kedegilan mat rempit ini kerana mereka lebih arif dengan undang-undang.

Apa pun, tulisan Merak Jalanan minggu ini bukan mahu merendahkan martabat penunggang atau pemilik motosikal.

Maaf jika ada yang terasa kerana istilah mat rempit dan mat motor membawa maksud yang sangat berbeza.

Kepada mat motor seperti Merak Jalanan, teruskan hobi anda dan bertahanlah dengan bebelan isteri kerana itulah kebahagiaan yang suami tak sedar.

Kesimpulannya, masalah mat rempit ini tidak akan habis dan kalau sudah haram (lumba haram), kenapa mahu dihalalkan?