Susah nak buat orang ketawa: Elly Mazlein

Elly Mazlein - Foto: Azman Muda
Elly Mazlein - Foto: Azman Muda
A
A
A

TAK siapa sangka bahawa pemilik nama Elly Mazlein ini lucu juga orangnya. Setiap kali dia muncul di atas pentas, keletahnya yang manja secara automatik mencuit hati penonton. Malah dia sendiri pun terkejut dengan penerimaan peminat.

Bersyukur dengan arena baharu sebagai pelakon dan pengacara genre komedi, Elly Mazlein atau nama lengkapnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia akan cuba melakukan yang terbaik untuk menghiburkan peminat dan penonton.

"Sebenarnya, saya tak pernah sangka bahawa akan masuk ke dunia komedi. Jadi saya anggap ini merupakan perkara yang harus diraikan sebab diberi ruang dan peluang serta dapat pula kembangkan lagi bakat lakonan.

"Oleh sebab itulah, saya rasa sangat bersyukur dan begitu dihargai. Saya berharap dunia baharu ini akan terus berkembang dan peminat akan suka," ujarnya kepada Sinar Harian.

Elly Mazlein - Foto: Azman Muda
Elly Mazlein - Foto: Azman Muda

Walaupun cabang komedi ini kedengaran seakan mudah untuk dilakonkan, Elly yang mendapat jolokan nama Kak Lina Pom Pom mengakui ia tidak semudah yang disangka.

"Sejujurnya susah nak buat orang ketawa. Contohnya kalau saya buat lawak tapi orang tak gelak, mestilah rasa malu, pucat atas pentas.

"Tapi saya tak akan cepat putus asa. Saya akan berusaha sebaik mungkin supaya apa dibuat dapat menghiburkan penonton. Penonton datang dan bayar untuk berhibur jadi kenalah bagi apa yang mereka mahukan," jelasnya positif.

Artikel Berkaitan:

Elly juga menegaskan bahawa bukan dia sahaja yang kadang kala mengalami masalah untuk membuat penonton ketawa malah senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia lawak pun ada juga mengalami masalah yang sama.

"Hakikatnya memang susah untuk menghiburkan orang. Begitupun, bagi saya kalau lawak tak jadi tak bermakna persembahan hambar cuma kena panaskan atau asah lagi skil yang boleh membuatkan penonton terus terhibur dan lawak kita sampai pada mereka," katanya yang ditemui di Showcase Amal Raikan Wanita anjuran Mingguan Wanita yang berlangsung pada 30 Mac lalu sempena meraikan hari wanita.