Projek ternakan ayam Ulu Bernam selesai isu kekurangan bekalan

Gambar kecil: Izham
Gambar kecil: Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bercadang untuk membangunkan projek ternakan ayam daging di Ulu Bernam, Hulu Selangor bagi menyelesaikan isu kekurangan ayam.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, projek diuruskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dijangka menambah pengeluaran ayam daging sebanyak 300,000 ekor untuk setiap kitaran.

Menurutnya, langkah yang diambil akan menjadikan jumlah pengeluaran ladang ayam PKPS kepada 800,000 ekor ayam setiap kitaran berbanding pengeluaran sebanyak 500,000 ekor sebelum ini.

“Selain itu, PKPS juga giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tapak projek jagung bijirin di Gemas, Negeri Sembilan seluas 161.874 hektar dan Kuala Langat Selatan di Selangor seluas 121.406 hektar dijangka selesai Ogos depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (DAP - Kampung Tunku) mengenai rancangan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu kekurangan ayam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

Dalam pada itu, mengenai status Program Intervensi Harga Makanan Ehsan, Izham memaklumkan lebih 80,000 penduduk di Selangor menerima manfaat menerusi jualan prihatin rakyat itu.

“Pelbagai barangan segar seperti ayam, telur ayam, ikan sejuk beku, daging pejal segar dan minyak masak dibawa ke 60 lokasi jualan seluruh negeri,” tambahnya.