Geran RM100,000 tingkatkan sosioekonomi ibu tunggal

Geran sebanyak RM100,000 disampaika Amirudin (dua kiri) kepada Siti Kamariah (dua kanan) pada jelajah Kasih Keluarga Negeri Penyayang di Petaling pada Ahad. (Gambar kecil: Siti Mariah)
Geran sebanyak RM100,000 disampaika Amirudin (dua kiri) kepada Siti Kamariah (dua kanan) pada jelajah Kasih Keluarga Negeri Penyayang di Petaling pada Ahad. (Gambar kecil: Siti Mariah)
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan ibu tunggal di Selangor terus menjadi tumpuan kerajaan negeri untuk meningkatkan status sosioekonomi dan autonomi wanita terpinggir.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia selari dengan matlamat kedua Dasar Wanita Selangor.

"Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga juga telah menyampaikan Geran Program Pembangunan Ibu Tunggal kepada Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Program Jelajah Selangor Penyayang di Petaling Jaya pada Ahad.

"Geran sebanyak RM100,000 tersebut disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Kamariah Ahmad Subki bersempena tema program jelajah itu iaitu Kasih Keluarga Negeri Penyayang," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, pemberian Geran Program Pembangunan Ibu tunggal merupakan hasil daripada sesi libat urus dijalankan bersama pelbagai pemegang taruh menerusi Program Mekar Kasih Ibu tunggal yang diadakan pada Jun 2022 lalu.

"Geran program ini bertujuan untuk memastikan wujudnya persatuan ibu tunggal di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor serta memperkasa persatuan terbabit agar mereka berupaya melaksanakan program bagi pembangunan kapasiti para ibu tunggal di DUN berkenaan," katanya.

Katanya lagi, melalui geran program itu, persatuan ibu tunggal berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) digalakkan untuk memohon dana pembangunan program sebanyak RM1,500.

"Persatuan yang memohon akan dilibatkan dalam bengkel pembuatan kertas cadangan khusus bagi membantu persatuan mengemukakan cadangan program yang bersesuaian dengan tujuan pelaksanaan geran ini.

"Seterusnya jawatankuasa penilai akan menilai kertas cadangan dan akan mengumumkan senarai persatuan yang berjaya menerima geran," katanya.