Kerajaan, Felda bantu anak peneroka jadi jutawan

A
A
A

Azizan Tumin
Azizan Tumin

SHAH ALAM - Masa depan golongan belia kini menjadi semakin mencabar dalam pasca pandemik Covid-19 apatah lagi untuk bersaing dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan.

Kerajaan pastinya tidak lepas tangan dan baru-baru ini YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan Tabung Usahawan Belia Felda dengan dana pusingan sebanyak RM10 juta diwujudkan bagi memangkin aktiviti ekonomi usahawan belia di tanah rancangan Felda seluruh negara.

Jutawan perniagaan, Azizan Tumin berkata, inisiatif itu perlu direbut belia Felda dan hadir tepat pada masa bagi membantu golongan itu memulakan dan mengembangkan perniagaan dijalankan.

Anak peneroka generasi kedua Felda Pemanis 1, Wilayah Segamat itu berkata, beliau juga tidak dapat mengecapi kejayaan sekarang tanpa mendapat sokongan kerajaan dan pengurusan Felda.

Katanya, bermula dengan bantuan tapak bagi menjalankan perniagaan runcit diusahakan keluarganya pada 1983, perniagaan itu terus berkembang menjadi peniagaan borong seterusnya pengangkutan.

Menurutnya, keluarganya hanya peniaga di pasar malam selepas berpindah ke Segamat pada 1983 sebelum Felda memberikan tapak untuk menjalankan perniagaan runcit lapan tahun kemudiannya.

"Pada 1991, saya mula membantu keluarga pada usia 16 tahun dan sudah 31 tahun saya bergelumang dalam dunia perniagaan sehingga dapat mengembang perniagaan keluarga ini seperti sekarang.

"Hanya bermula dengan perniagaan peruncitan namun selepas 15 tahun berniaga saya 'upgrade' kepada perniagaan borong bagi memenuhi pasaran pengguna di sekitar kawasan Felda sekitar sini.

"Perniagaan ini kemudiannya dikembangkan kepada penyediaan pengangkutan pula bagi memenuhi permintaan pasaran di seluruh negara," kata pemenang Anugerah Usahawan Felda 2021 ini.

Menurutnya, anugerah itu tidak akan dapat dirai tanpa bantuan kerajaan dan Felda yang sentiasa memberi sokongan walaupun ramai lagi pemain industri sama yang lebih baik di luar sana.

"Ramai lagi yang lebih baik di luar sana dan saya berterima kasih kepada Felda kerana beri tempat untuk saya berniaga termasuk warga Felda yang membantu saya sehingga kini," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kejayaan itu tidak dapat diraih tanpa kecekalan dan usaha yang berterusan selain tidak boleh iri hati terhadap kejayaan orang lain di sekeliling mereka.

"Kita mesti cekal dan kalau jatuh jangan patah semangat dan inisiatif Tabung Usahawan Belia Felda ini memang tepat pada masanya agar belia Felda dapat mencuba memulakan perniagaan

"Bantuan sebegini adalah bagus kerana di Felda bermacam jenis perniagaan boleh dijalankan maka peluang bantuan yang ditawarkan kerajaan sehingga RM10 juta ini wajar direbut," katanya lagi.

Bantuan Felda pembuka langkah kejayaan

Tambahnya, dengan bantuan permulaan diberikan oleh Felda kepada keluarganya pada tahun 1984 dalam bidang peruncitan beliau kini mampu meraih pendapatan kurang RM10 juta dalam tempoh setahun.

"Pendapatan saya secara tahunan adalah di bawah RM10 juta membabitkan perniagaan peruncitan, pemborong dan pengangkutan," kata anak peneroka generasi kedua di Felda Pemanis ini.

Sementara itu, seorang lagi usahawan belia Felda, Mohamad Fitri Yusop dari Felda Rentam berkata, inisiatif Tabung Usahawan Belia Felda itu akan dapat dimanfaatkan peniaga sepertinya.

Mohamad Fitri Yusop
Mohamad Fitri Yusop



Malah beliau teruja dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menawarkan peluang kepada belia Felda untuk berniaga terutama perniagaan dalam talian.

"Pertamanya saya berterima kasih kepada pimpinan kita kerana membantu belia luar bandar terus maju seiring dengan belia-belia lain sudah berjaya di luar sana.

"Kita juga akan berpeluang untuk bersaing dalam pasaran yang lebih luas memandang kita sebelum ini hanya bersaing dengan peniaga Bumiputera sahaja," katanya.

Tambahnya, pengumuman itu juga dapat dimanfaatkan peniaga sepertinya yang menjalankan perniagaan bakeri dan katering serta pau jenama Tupai Terbang sebelum ini.

Seorang lagi usahawan belia berwawasan dari Felda Sg Kelamah, Aiza Liyana Anuar berkata, inisiatif itu sangat membantu usahawan-usahawan belia khususnya yang baharu untuk memulakan perniagaan dan membuat perancangan.

"Selain itu, dengan inisiatif tersebut kita juga dapat mengatur strategi dari segi pemasaran dan inisiatif ini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak patut sia-siakan," katanya.

Aiza Liyana Anuar
Aiza Liyana Anuar

Usahawan wanita berusia 34 tahun itu menambah, jenama Lizzhyscarfs miliknya didaftarkan di bawah usahawan belia tahun lepas dapat dikukuhkan di pasaran sekiranya berpeluang mendapatkan bantuan.

"Sudah semestinya kita hendak kukuhkan jenama di pasaran ini kerana persaingan ketika ini agak sengit dengan jenama sedia ada.

"Dengan bantuan diberikan saya akan memberi fokus kepada strategi pasaran seterusnya dapat melebarkan serta memperkukuhkan jenama ini di pasaran," katanya.

Beliau menjalankan perniagaan berasaskan tudung dikeluarkan di bawah Anapena Marketing and Resources dengan jenama Lizzhyscarfs yang bermula sejak beberapa tahun lalu.