Pembentukan modal tetap kasar Malaysia catat RM278.7 bilion

No Image Caption
A
A
A

PEMBENTUKAN Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia, komponen kedua terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan 20.1 peratus daripada keseluruhan ekonomi, mencatatkan RM278.7 bilion (harga malar) pada 2021 berbanding dengan RM281.2 bilion pada 2020.

Sebagai rumusan keseluruhan situasi PMTK pada 2021, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kelonggaran pergerakan merentas negeri telah memberi impak yang signifikan kepada pembukaan ekonomi, yang membolehkan peniaga memulihkan momentum perniagaan dan sekali gus berupaya memacu proses pemulihan ekonomi di Malaysia.

"Tambahan pula, peningkatan berterusan pelaburan aset tetap yang berkaitan jentera dan peralatan memberi signal kepada trend pemulihan PMTK bagi 2022,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas PMTK 2021 yang dikeluarkan DOSM pada Isnin.

Statistik PMTK disusun dan diterbitkan mengikut jenis aktiviti ekonomi, jenis aset serta sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, PMTK menguncup marginal 0.9 peratus pada 2021 berbanding negatif 14.4 peratus pada 2020.

"Pemulihan berperingkat PMTK ini menggalakkan kapasiti ekonomi yang lebih tinggi dan meningkatkan potensi output pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai prestasi PMTK mengikut aktiviti ekonomi, beliau berkata, PMTK bagi 2021 semua sektor mencatatkan pertumbuhan negatif kecuali sektor pembuatan.

Prestasi yang memberangsangkan ini disokong oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta produk elektrik, elektronik dan optikal dan peralatan pengangkutan, yang masing-masing pulih kepada 9.7 peratus dan 5.9 peratus, katanya.

Beliau berkata, PMTK bagi sektor perkhidmatan susut 1.3 peratus berbanding dengan negatif 12.4 peratus pada tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh aktiviti kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang merosot 4.6 peratus pada 2021.

Mohd Uzir berkata, pada 2021, PMTK bagi sektor perlombongan dan pengkuarian susut 14.7 peratus daripada kejatuhan 25.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Sektor pembinaan turut jatuh 1.1 peratus, lebih perlahan berbanding penyusutan 2.6 peratus pada 2020 manakala trend penurunan yang sama turut dilihat dalam sektor pertanian yang menguncup marginal 0.7 peratus berbanding negatif 8.9 peratus pada 2020 disebabkan prestasi yang lemah dalam kesemua subsektor, katanya.

Bagi prestasi mengikut jenis aset, beliau berkata, struktur kekal sebagai penyumbang utama kepada PMTK dengan sumbangan 50.7 peratus, merosot 10.1 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, sebaliknya, peralatan teknologi maklumat dan komuniasi (ICT) dan lain-lain jentera dan peralatan melonjak 16.6 peratus, manakala produk harta intelek bertumbuh 2.9 peratus pada 2021, katanya.

"Sektor swasta terus menjadi peneraju utama kepada PMTK dengan sumbangan sebanyak 77.6 peratus, merekodkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Namun begitu, sektor awam yang menyumbang 22.4 peratus menunjukkan trend menurun, 11.3 peratus pada 2021,” katanya.

Ketua Perangkawan berkata, aktiviti perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama PMTK bagi sektor swasta.

"Sumbangan aktiviti perkhidmatan meningkat kepada 63.0 peratus (2020: 62.9 peratus). Selain itu, aktiviti pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan 22.2 peratus berbanding 21.0 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya,

Beliau berkata, sementara iu, aktiviti-aktiviti lain menyumbang 14.8 peratus kepada jumlah PMTK sektor swasta.

PMTK sektor awam diterajui oleh aktiviti perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 81.5 peratus, diikuti oleh aktiviti pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian, masing-masing dengan sumbangan sebanyak 9.1 peratus dan 8.6 peratus, katanya. - Bernama