[VIDEO] Isu dakwaan kenyataan lucah Tajuddin ditentukan esok

Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diambil atau sebaliknya berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan lucah di Dewan Rakyat diputuskan esok (Selasa).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pihaknya masih meneliti surat yang dihantar wakil pembangkang berhubung isu berkenaan.

"Surat itu sudah dihantar. Saya menerima surat itu dan Speaker (Tan Sri Azhar Azizan Harun) meminta untuk saya mengendalikannya. Saya baru terima surat tersebut dan sedang dalam proses.

"Sebahagian daripada saksi telah dipanggil dan saya akan buat rumusan serta berikan jawapan dalam minggu ini atau selewatnya esok," kata beliau di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin sebagai maklum balas kepada persoalan yang dibangkitkan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan).

Kasthuriraani sebelum itu bangkit mempertikaikan sikap Mohd Rashid yang dilihat tidak serius mengambil tahu mengenai dakwaan pembangkang.

"Saya menghantar surat memohon Speaker memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak agar memohon maaf dan menarik balik penggunaan kata-kata lucah dalam Dewan Rakyat.

"Terperanjat dengan kelakuan yang tidak senonoh serta tidak boleh diterima oleh mana-mana ahli Parlimen.

"Speaker melepaskan Pasir Salak begitu sahaja, sekadar dengan amaran. Saya rasa kecewa dengan keputusan yang dibuat dan sembilan ahli Parlimen yang telah jadi saksi Pasir Salak (Tajuddin) mengeluarkan kata-kata lucah semasa mikrofon dia ditutup. Jadi, bukti sama ada dengan mikrofon itu buka atau tidak, ia telah berlaku," katanya.

Menurutnya lagi, mencerminkan Dewan Rakyat hanya mengabaikan isu dibawa oleh pembangkang sekiranya tidak mengambil berat mengenai perkara tersebut.

“Perkara ini bukan sekali sahaja berlaku tapi berulang. Sekiranya Speaker tidak menggunakan jawatan tersebut untuk mengambil tindakan tegas terhadap Pasir Salak (Tajuddin), maka ia akan menjadi teladan amat buruk dalam sejarah,” katanya.

Pada Khamis lalu, Azhar Azizan dilaporkan berkata, Dewan Rakyat meneliti lebih lanjut sebelum membuat sebarang ketetapan terhadap Tajuddin yang dikatakan mengeluarkan kata kesat dan lucah dalam sidang Dewan Rakyat.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual, Tajuddin menggelar beberapa Ahli Parlimen wanita DAP mempunyai perangai tidak senonoh sebelum Dewan Rakyat kecoh seketika.

Tindakan Tajuddin itu dibuat ketika beliau cuba membidas dakwaan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) bahawa dirinya sering membuat kenyataan berbaur seksi kepada ahli parlimen wanita.