Teruja ke sekolah dengan tangan baharu

Mohd Adnan menemui Nur Zulaikha yang teruja memakai 'tangan baharu' buat kali pertama
Mohd Adnan menemui Nur Zulaikha yang teruja memakai 'tangan baharu' buat kali pertama
A
A
A

MARANG - Sesi persekolahan menjadi lebih bermakna buat Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, apabila ke sekolah dengan 'tangan baharu' buat kali pertama, hari ini.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek, itu meluahkan perasaan gembira apabila menerima tangan palsu tajaan kerajaan negeri Terengganu selepas tangannya putus akibat tersepit pada rim motosikal.

“Suka... dah lama tunggu nak pakai tangan (palsu) ini.

"Selalu tanya mak, bila tangan nak sampai.

"Semalam tangan ini sampai kat rumah, hari ini dah boleh pakai ke sekolah," katanya kepada Sinar Harian.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Tasek, Mohd Adnan Ramli dan guru-guru di sekolah itu turut menemuinya memberi dorongan dan kata-kata semangat kepada Nur Zulaika.

Sementara itu, ibu Nur Zulaikha, Rohidayu Siup@Yusof, 30, terharu dengan sumbangan tangan palsu buat anaknya.

Ia memberi semula keyakinan buat anaknya dalam meniti kehidupan sehariannya.

Artikel Berkaitan:

"Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan tangan palsu ini.

"Kalau minta kami beli sendiri... memang kami tak mampu," katanya.

Kisah Nur Zulaikha disiarkan Sinar Harian pada 14 Julai tahun lalu dan mendapat perhatian banyak pihak termasuk kerajaan negeri Terengganu yang berjanji akan membantu membiayai tangan palsu kanak kanak itu.

Tangan Nur Zulaikha putus dari paras bahu selepas tersepit pada rim motosikal ketika membonceng motosikal ditunggang sepupunya, Nooraina Hananie,19, di Binjai Bongkok pada 12 Julai tahun lalu.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu dikatakan berpunca apabila bahagian tangan jaket dipakai mangsa yang berjurai masuk ke dalam rim motosikal lalu menarik tangan kirinya sehingga putus.

Ibu mangsa yang dimaklumkan mengenainya bergegas ke tempat kejadian namun membayangkan anaknya itu sekadar jatuh dari motosikal dengan mengalami kecederaan ringan namun sebaliknya.

Sebaik tiba di tempat kejadian, Rohidayu segera meminta orang awam membantu menyelamatkan anaknya dan kemudiannya kanak kanak malang itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong.