Rumah pelarian Syria hasil sumbangan rakyat Malaysia

Wakaf Kampung Malaysia di utara Syria dibangunkan bagi penempatan pelarian Syria di bawah projek Syria Care sejak 2020.
Wakaf Kampung Malaysia di utara Syria dibangunkan bagi penempatan pelarian Syria di bawah projek Syria Care sejak 2020.
A
A
A

PETALING JAYA - Wakaf Kampung Malaysia berjaya dibangunkan di utara Syria menerusi projek wakaf dilaksanakan Syria Care sejak 2020.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, ia hasil sumbangan orang ramai membabitkan kos RM4.3 juta bagi pembinaan 272 unit rumah dilengkapi dengan pusat perubatan, sekolah, sumber air dan elektrik serta saliran kumbahan.

Menurutnya, 258 unit rumah telah dihuni manakala baki unit sedang dalam kerja pembinaan dan dijadualkan siap antara satu hingga dua bulan lagi.

"Kita harap baki rumah dapat disiapkan sebelum musim sejuk bagi memudahkan kerja pembinaan.

"Projek masih berjalan dan Syria Care memerlukan tajaan berterusan memandangkan sekolah beroperasi sepanjang tahun.

"Walaupun terdapat cuti musim panas selama tiga bulan namun pelbagai pengisian dilaksanakan supaya kanak-kanak yang berada di zon konflik ini tidak terdedah kepada bahaya dan gejala tidak sihat lain," katanya pada Majlis Apresiasi Syria Care 2022 di TH Hotel Kelana Jaya pada Ahad.

Siti Sakinah (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Jemaah Al Hasanah pada Majlis Apresiasi Syria Care 2022 di TH Hotel Kelana Jaya pada Ahad.
Siti Sakinah (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Jemaah Al Hasanah pada Majlis Apresiasi Syria Care 2022 di TH Hotel Kelana Jaya pada Ahad.

Seramai 300 tetamu hadir memeriahkan majlis tersebut yang diadakan sebagai penghargaan kepada penyumbang yang menyokong kerja-kerja kemanusiaaan Syria Care antaranya projek tajaan anak yatim, program pendidikan Edu4Syria dan Projek Wakaf Kampung Malaysia.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk yang tinggal di Kampung Malaysia itu terdiri pelarian daripada pelbagai daerah dan latar belakang termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan juga golongan profesional termasuk guru.

"Asalnya kawasan ini kosong dan tiada orang yang tinggal namun selepas berlaku serangan di Maarat al-Numan hujung 2019 dan awal 2020, berlaku perpindahan hampir satu juta pelarian baharu ke kawasan utara Syria menyebabkan kawasan ini menjadi sesak.

"Lebih 1,000 permohonan diterima namun proses pemilihan adalah ketat memandangkan keperluan memiliki rumah di sana sangat tinggi.

" Ada yang tinggal di khemah bertahun lama, apabila dapat peluang duduk dalam rumah maka ramai yang mohon," katanya.

Katanya, terdapat juga pihak lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat rumah bagi tujuan sama namun jumlahnya belum cukup menampung keperluan pelarian.

Justeru katanya, Syria Care mempunyai cadangan untuk melaksanakam Projek Wakaf Kampung Malaysa kedua namun akan melengkapkan projek sedia ada terlebih dahulu.

"Projek yang dilaksanakan ini serba lengkap dan kami gembira kerana dapat memberikan hasil terbaik kerana membawa nama Malaysia.

" Disebalik membawa nama Malaysia, tanggungjawab yang dipikul juga besar kerana perlu menjaga imej dan nama baik negara, " katanya.