Kit ujian kendiri influenza ‘licin’

Tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi sekitar Shah Alam mendapati kebanyakannya telah kehabisan kit ujian kendiri influenza.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi sekitar Shah Alam mendapati kebanyakannya telah kehabisan kit ujian kendiri influenza.
A
A
A

SHAH ALAM - Kit ujian kendiri influenza yang mula dibekalkan dan diedarkan di pasaran ternyata mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi sekitar Shah Alam mendapati kebanyakannya telah kehabisan kit tersebut malah ada antara premis berkenaan masih menunggu dan mendapatkan bekalan daripada pembekal.

Menurut seorang jurujual di Friends Pharmacy, Seksyen 9 di sini, Eshah Salleh, 57, bekalan pertama sebanyak 100 unit jenama Longsee yang djual pada minggu lalu semuanya telah habis dijual.

Ujar Eshah, pihaknya ketika ini masih menunggu bekalan baharu daripada pembekal.

“Dari minggu lepas lagi kita memang dah mula jual kit ujian kendiri influenza. Kita bekalkan sekitar 100 unit dengan harga RM15. Itu pun dah habis dijual dan kita tengah tunggu stok baru daripada pembekal,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dia juga mengakui kit berkenan ketika ini mendapat permintaan daripada orang ramai ekoran kes influenza mencatatkan peningkatan.

Eshah
Eshah

“Pelanggan paling banyak beli lima kotak seorang. Nak beli lebih tidak boleh sebab stok sedikit dan terhad. Jadi, ada limit dari segi pembelian.

“Selain itu, bukan sahaja kit ujian kendiri influenza yang habis, malah ubat-ubatan seperti panadol juga tiada stok sekarang,” jelasnya.

Seorang lagi pembantu jurujual di Multicare Pharmacy, Seksyen 18 di sini, Amira Shamsudin, 19, pula berkata, pihaknya ketika ini masih menunggu bekalan daripada pembekal berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.

Katanya, setiap hari memang akan ada pelanggan yang bertanya mengenai kit ujian tersebut dan pihaknya masih berusaha untuk mendapatkan bekalan secepat mungkin.

“Kita baru nak mula jual dan sekarang masih menunggu stok daripada pembekal. Permintaan memang tinggi. Ramai pelanggan kerap bertanya sudah ada stok atau belum,” ujarnya.

Sementara itu, ahli farmasi di Health Lane yang mahu dikenali dengan nama Alex, 26, berkata, kelewatan stok berkemungkinan disebabkan oleh tindakan pembekal lebih mengutamakan untuk hospital dan klinik.

Menurutnya, pihak farmasi tersebut sudah pun membuat tempahan pada minggu lalu namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pembekal.

“Kami di sini memang belum mula jual lagi tetapi dah buat tempahan dengan pembekal minggu lepas. Tidak pasti bila stok akan sampai. Saya tidak rasa bekalan boleh dapat dalam waktu terdekat.

“Mungkin disebabkan oleh pembekal yang mahu mengutamakan kepada hospital dan klinik dahulu sebab kes sekarang ini pun semakin meningkat,” tambahnya.