Seorang maut, sembilan cedera van terbalik

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto Bomba Perak
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto Bomba Perak
A
A
A

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Seorang pelancong warga India maut selepas van dinaiki hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 178.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Alor Longsu di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 6.22 petang itu, Noorjahan Mohamed Yacoob, 74, beralamat dari Aduthurai, Tamil Nadu, India meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian turut menyebabkan pemandu van warga tempatan berusia 63 tahun patah tangan dan luka di kepala.

Nahas van itu turut mengakibatkan empat penumpang lain berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun mengalami patah tangan dan kaki, luka di badan dan cedera teruk di kepala sementara empat lagi tiada kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian berlaku ketika van jenis Toyota Hiace membawa sembilan penumpang terdiri lapan warga India dan seorang pembantu rumah dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, dipercayai tayar belakang sebelah kanan van telah pecah lalu menyebabkannya terus hilang kawalan dan terbalik di tengah jalan.

"Dalam kemalangan ini, seorang wanita penumpang van telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala mangsa lain yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, semakan mendapati, warga India terbabit masuk ke negara ini sebagai pelancong dan pergi ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis perkahwinan.

"Kes kini disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, semua mangsa terlibat tidak tersepit.

"Anggota bertindak membuat rawatan awal kepada mangsa dan membawa mereka ke Hospital Taiping.

"Mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Operasi tamat pada jam 7.56 malam.