AKM: Tanaman sayuran hidroponik menara tarik perhatian pengunjung

Petugas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Nursuriana Zulkifli memeriksa pokok salad yang ditanam melalui kaedah hidroponik. - Foto Bernama
Petugas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Nursuriana Zulkifli memeriksa pokok salad yang ditanam melalui kaedah hidroponik. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Berbekalkan hasrat ingin menggalakkan masyarakat menanam sayur-sayuran sendiri di rumah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa mempamerkan tanaman salad menggunakan teknik hidroponik menara daripada paip PVC, pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan.

Pengurus Besar PPK Pengkalan Chepa, Zainihisham Idris berkata, teknik penanaman sayur di dalam paip PVC yang disusun secara menegak dan dipamerkan di reruai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu berjaya menarik perhatian pengunjung sehingga ada yang menempahnya.

"Melalui Jelajah AKM Kelantan kita menerima sebanyak 13 tempahan set penanaman hidroponik daripada paip PVC setakat ini. Sebenarnya ramai lagi yang berminat tetapi kami sarankan mereka datang ke pejabat kami (PPK Pengkalan Chepa) untuk melihat sendiri set tanaman itu terlebih dahulu sebelum membuat tempahan.

"Set penanaman hidroponik ini kita buat menggunakan paip PVC yang kita tebuk lubang-lubang kecil menggunakan teknik pemanasan untuk menempatkan anak-anak pokok,” katanya kepada Bernama sempena program Jelajah AKM Kelantan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di Stadium Sultan Muhamad IV, di sini hari ini.

Katanya, tanaman hidroponik menara itu tidak menggunakan tanah sebaliknya hanya menggunakan span terpakai.

Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan salad yang ditanam melalui kaedah hidroponik yang dipamerkan di reruai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. - Foto Bernama
Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan salad yang ditanam melalui kaedah hidroponik yang dipamerkan di reruai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. - Foto Bernama

Zainihisham berkata, tanaman hidroponik teknik menara itu sangat sesuai bagi sayuran dan herba renek berdaun seperti salad, sawi, daun bawang serta daun sup.

Beliau berkata, sejak memulakan projek hidroponik menara tersebut pada 2020, pihaknya setakat ini berjaya menjual sebanyak 160 set penanaman hidroponik menara dengan harga bermula daripada RM350, bergantung kepada saiz dikehendaki pelanggan.

Dalam pada itu reruai MAFI turut menarik perhatian pengunjung dengan replika tanaman sayuran sawi Jepun menggunakan teknik fertigasi meja oleh PPK Repek Telong.

Pengurus Besar PPK Repek Telong, Zuraidi Ramli berkata, sawi Jepun yang ditanam di atas meja besi itu menarik perhatian pengunjung berikutan kaedah penanamannya menggunakan sabut kelapa yang telah diproses serta dicampur sedikit baja organik terdiri daripada tahi kelawar dan tahi ayam yang telah diproses.

"Kaedah penanaman fertigasi meja ini sangat sesuai untuk mereka yang mempunyai kawasan tanah terhad. Malah teknik tanaman menggunakan sabut kelapa yang telah diproses juga sesuai bagi penduduk di Kelantan kerana negeri ini mempunyai banyak tanaman kelapa,” katanya.

Zuraidi berkata, pihaknya berharap melalui penganjuran program seperti Jelajah AKM Kelantan, Lembaga Pertubuhan Peladang dapat menonjolkan lebih banyak kaedah penanaman sayuran yang mudah dan selamat bagi menggalakkan masyarakat berdikari serta menanam sendiri sayur di rumah. - Bernama