Malayan Tigress B-18 azam catat kemenangan sulung

Keng Lin (tengah), memberikan arahan kepada pemain-pemain skuad B-18 tahun wanita negara pada sesi latihan sebelum berlepas ke Palembang, baru-baru ini. - Foto FB FAM
Keng Lin (tengah), memberikan arahan kepada pemain-pemain skuad B-18 tahun wanita negara pada sesi latihan sebelum berlepas ke Palembang, baru-baru ini. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD bawah 18 tahun (B-18) wanita negara, berazam untuk mencatatkan kemenangan sulung pada aksi Kumpulan B berdepan Myanmar pada Kejuaraan AFF U-18 Wanita 2022 di Stadium Gelora Jakabaring, Palembang pada Isnin.

Menurut pengendali skuad B-18 wanita negara, Kok Keng Lin, biarpun menyedari Myanmar merupakan pasukan yang berada pada ranking yang jauh lebih baik ketika ini dan juga merupakan salah satu pasukan pilihan pada kejuaraan kali ini, namun kesemua pemain diingatkan untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Kami tahu pasukan Mynamar berada ranking yang lebih tinggi daripada kita, tetapi saya tegaskan, kedatangan kami kali ini bukanlah bagi tujuan pendedahan.

“Sebaliknya, kami mahu mencatatkan kemenangan pada semua aksi di peringkat kumpulan dan seterusnya layak ke separuh akhir nanti,” katanya pada sidang media pra perlawanan bekenaan pada Ahad.

Untuk rekod, selain selain Mynamar, skuad B-18 wanita negara bakal beraksi dalam saingan Kumpulan B bersama Filipina dan Australia.

Sementara itu Keng Lin berkata, separuh daripada skuad kali ini dibarisi oleh pemain yang beraksi pada kejohanan UEFA Assist (Wanita) bawah 17 tahun di Ulaanbaatar, Mongolia Mei lalu.

Katanya, pemain-pemain berkenaan juga telah beraksi dalam saingan liga tempatan dalam usaha mempersiapkan diri bagi mengharungi Kejuaraan AFF B-16 Wanita 2022.

“Walaupun ada beberapa muka baharu, tetapi kebanyakan pemain kami merupakan daripada skuad yang beraksi di Mongolia, Mei lalu.

“Sebelum berada di sini (Palembang), kami sempat berlatih bersama-sama bagi tempoh 10 hari dan ia diharap mencukupi untuk mengharungi cabaran pada kejuaraan kali ini,” katanya.