Projek tebatan banjir Sungai Linggi fasa lima diteruskan

Aminuddin (tiga kanan) ketika tiba di program berkenaan pada Ahad.
Aminuddin (tiga kanan) ketika tiba di program berkenaan pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi Sungai Linggi akan diteruskan dalam fasa lima membabitkan peruntukan kira-kira RM200 juta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menunggu kelulusan peruntukan berkenaan daripada kerajaan Persekutuan.

"Sungai Linggi sudah di naik taraf sehingga fasa empat, sekarang sedang menunggu kelulusan untuk fasa lima dan Insya-ALLAH akan dimulakan pada tahun hadapan.

"Fasa lima ini nanti melibatkan proses naik taraf Sungai Linggi dari Kuala Sawah, Rantau hingga ke Jalan Pantai, Seremban sepanjang 20 kilometer (km) dan ia dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan seperti Rasah dan Rahang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas selesai merasmikan Ibu Pejabat Persatuan Nan Yang Yap Si Malaysia di Pusat Komersial Oakland pada Ahad.

Aminuddin sebelum ini pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjelaskan sepanjang 27km tebatan banjir sudah disiapkan sejak pelaksanaan RTB Sungai Linggi dari tahun 2009 hingga 2015 dengan kos berjumlah RM86.57 juta.

Katanya, manakala sepanjang 10km lagi sedang disiapkan dalam projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi fasa empat yang menelan kos RM66.6 juta.

Sementara itu, Sinar Harian pada Sabtu melaporkan rata-rata penduduk di Kampung Semarak, Rahang meluahkan rasa kecewa apabila kediaman mereka sudah tiga kali dilanda banjir kilat.

Mereka turut berharap Sungai Linggi yang berhampiran kediaman mereka segera di dalamkan sekali gus mengurangkan risiko banjir berikutan sudah tidak mampu lagi berdepan dengan masalah sama sejak Mei lepas dan terkini pada Jumaat lalu.