'Bawa keratan tiket Bangkok, layak beli dua tiket'

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyediakan satu kaunter khas untuk pembelian tiket aksi final pertama antara Malaysia dan Vietnam bagi penyokong Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Bangkok, 5 Disember lalu.

Setiausaha agung, Stuart Ramalingam berkata, FAM sudah bersetuju untuk meluluskan pembelian dua tiket bagi setiap penyokong yang mempunyai keratan tiket perlawanan di Bangkok.

“Jadi, penyokong yang pergi ke Bangkok hanya perlu menunjukkan keratan tiket sebelum ini dan mereka layak membeli maksimum dua tiket di kaunter khas yang akan dibuka nanti. Lokasinya akan diberitahu kemudian.

“Itulah satu penghargaan daripada FAM kepada penyokong setia Harimau Malaya yang sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk menyaksikan perlawanan di sana (Bangkok),” katanya ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Sementara itu, Stuart menjelaskan terdapat kesilapan daripada pihak pengurusan tiket dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my yang membuka jualan lebih awal daripada sepatutnya.

“Memang diakui ada kesilapan daripada pihak pengurusan tiket yang membuka talian menjual lebih awal dan itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau, bagaimanapun berkata sistem di www.tickethotline.com.my berkeupayaan melakukan 100,000 transaksi dalam seminit.

“Jadi kalau 20,000 tiket yang dijual secara dalam talian, seorang beli empat tiket, memang dalam masa singkat akan habis tiket berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, FAM menerusi laman Facebooknya berkata, kesemua tiket yang diperuntukkan habis dijual dalam masa singkat sahaja selepas www.tickethotline.com.my memulakan jualan setengah jam lebih awal untuk menguji sistem daripada waktu sepatutnya pada 9 pagi semalam.

Susulan itu, FAM mengambil pendekatan menambah jumlah tiket dalam talian daripada 20,000 keping kepada 30,000 keping dengan baki 10,000 itu akan dijual secara dalam talian bermula 9 pagi ini manakala baki 40,000 tiket fizikal akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula Ahad ini.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional - Bernama