'Jho Low 2' ditahan terlibat pengubahan wang haram di Thailand

Wooi Huat pernah ditahan atas tuduhan mengedar dadah pada 2017 di Thailand. - Foto Agensi
Wooi Huat pernah ditahan atas tuduhan mengedar dadah pada 2017 di Thailand. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Seorang ahli perniagaan warga Malaysia dalam buruan yang beroperasi di Thailand telah ditahan kerana didakwa melakukan pengubahan wang haram.

Media tempatan melaporkan penahanan pengasas, MBI Group International, Teow Wooi Huat yang mendapat julukan 'Jho Low 2' dibuat di wilayah Songkhla pada awal pagi Jumaat di bawah operasi diketuai Penolong Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn.

Pihak berkuasa turut melakukan serbuan ke atas pejabat MBI Group di daerah Sadao yang terletak di sempadan Thailand-Malaysia.

Bilionair tersebut diberkas selepas pihak berkuasa menahan beberapa ahli politik tempatan di wilayah Songkhla dan Si Thammarat.

"Hasil siasatan dilakukan Surachate telah menemui kaitan antara mereka dan Wooi Huat. Taikun perniagaan itu didapati memegang peranan sebagai pembiaya utama sindiket perjudian dalam talian," ujar jurucakap polis dalam satu kenyataan.

Menurut pihak berkuasa, MBI Group International terlibat dalam perniagaan seperti perhotelan, rangkaian pusat hiburan, taman teman dan hartanah.

Wooi Huat pernah ditahan pada 2017 atas tuduhan mengedar dadah, namun dia terlepas daripada pendakwaan selepas melarikan diri ke Songkhla.

Setahun selepas itu, pihak berkuasa Malaysia mendakwa suspek terlibat dengan jenayah kewangan hingga menyebabkan aset miliknya dirampas selepas dipercayai terlibat dengan skim piramid.

Artikel Berkaitan:

Wooi Huat kemudiannya melarikan diri ke Thailand pada tahun lalu.

Pada Oktober 2019, MBI Group International pernah menjadi tajuk utama media di Malaysia setelah sekumpulan warga China berhimpun di luar kedutaan Beijing di Kuala Lumpur kerana mendakwa telah kehilangan wang simpanan mereka kepada syarikat miliknya.

Ketika itu, kebanyakan mangsa mendakwa mereka 'tertipu' dengan skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI Group International.

Difahamkan, Wooi Huat juga dikehendaki pihak berkuasa di Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan kes pengubahan wang haram berjumlah AS$83 juta (RM336 juta) di Macau. - Agensi