Ringgit dijangka merosot berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka meneruskan kemerosotan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan disebabkan inflasi tinggi. - Gambar hiasan
Ringgit dijangka meneruskan kemerosotan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan disebabkan inflasi tinggi. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka meneruskan kemerosotan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan disebabkan inflasi tinggi, menurut seorang penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ringgit mungkin turut bergelut untuk mengekalkan kenaikan berikutan pelbagai risiko negatif, contohnya kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 di China.

"Mengambil kira korelasi kukuh ringgit dengan yuan China, ringgit mungkin diniagakan rendah berikutan peniaga bersedia untuk kemungkinan aliran keluar pasaran saham serantau yang boleh berlaku apabila Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi melawat Taiwan pada Ogos,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran juga akan mengalami satu lagi kenaikan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu depan dan Rizab Persekutuan AS dijangka meningkatkan kadar sebanyak 75 mata asas lagi pada 27 Julai ini.

"Ini boleh menyebabkan ringgit mendatar sehingga FOMC tidak memberi pengaruh ketara terhadapnya.

"Kebimbangan saya ialah kita boleh terbabit dengan kemelesetan global yang singkat dan mungkin menjejaskan pengeksport Asia,” katanya.

Melihat kepada ketidaktentuan itu, Innes berkata ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.4475-RM4.4575 pada minggu depan.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS berikutan sentimen itu telah dipengaruhi oleh pengukuhan ringgit.

Ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.4515/4545 pada Jumaat berbanding 4.4480/4505 pada minggu sebelum ini.

Berasaskan Jumaat hingga Jumaat, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2011/2038 daripada 3.1688/1710 sebelum ini.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.2389/2413 daripada 3.2048/20699 sebelum ini, susut berbanding pound Britain kepada 5.3187/3222 daripada 5.2629/2658 dan merosot berbanding euro kepada 4.5201/5231 daripada 4.4662/4687 minggu lepas. - Bernama