330 individu terjejas banjir kilat di Seremban

Antara kawasan yang terjejas banjir. - Foto Negeri Sembilan Kini
Antara kawasan yang terjejas banjir. - Foto Negeri Sembilan Kini
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 330 individu daripada 120 keluarga terjejas banjir kilat di beberapa kawasan sekitar daerah ini berikutan hujan lebat pada Jumaat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata, hujan lebat sejak jam 7 malam itu berlarutan sehingga beberapa jam.

"Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Ismail, Kampung Chedang, Taman Happy dan Kampung Sri Mantau.

“Rumah yang berdekatan sungai dan kawasan rendah menyebabkan air naik dengan cepat namun keadaan tidak kritikal. Hujan lebat intensiti tinggi pada 9 malam dan reda kira-kira dua jam kemudian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu

Beliau berkata, paras air paling tinggi naik hingga 0.5 meter di beberapa kawasan, bagaimanapun tiada pusat pemindahan dibuka.

"Kebanyakan mangsa ditumpangkan di balai raya berhampiran sementara air surut sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, lebih 20 anggota termasuk APM, polis dan orang awam terlibat bagi memantau keadaan termasuk mengeluarkan mangsa dan mengalihkan barang di rumah mereka ke tempat selamat.