Bekas Pengarah Urusan BPMB meninggal dunia di London

Mohd Zafer dilaporkan meninggal dunia di London pada Jumaat
Mohd Zafer dilaporkan meninggal dunia di London pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim dilaporkan meninggal dunia di London, United Kingdom pada Jumaat.

Perkara itu disahkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid menerusi catatan di laman Facebook.

"Dengan rasa dukacita, saya dimaklum bahwa bekas kenalan di AlBukhary Group, Datuk Zafer Hashim telah kembali ke Rahmatullah di London.

"Beliau pernah berkhidmat di MMC dan juga sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) bekas bank saya bekerja kemudian ke Bank Pembangunan, sebelum saya menerajui sebagai Ketua Eksekutif.

"Moga ALLAH merahmati beliau dan rohnya dicucuri rahmat dan jasanya di perbankan Islam sentiasa mendapat barakah," katanya di laman Facebook pada Jumaat.

Mohd Zafer baru-baru ini mendapat tumpuan berikutan menjadi defendan dalam tindakan undang-undang yang dimulakan oleh BPMB berhubung pinjaman RM400 juta yang diberikan kepada Aries Telecoms (M) Bhd.

Menurut laporan The Edge, RM400 juta yang diluluskan pada Mei 2012 itu bertujuan membiayai sebahagian projek bernilai RM1.3 bilion yang diusahakan oleh Aries untuk memasang rangkaian gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia.