Tun M gesa siasat dakwaan Apandi jadi orang tengah Jho Low

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Tan Sri Mohamed Apandi Ali disiasat susulan dakwaan bekas Peguam Negara itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, laporan bahawa Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low amatlah mengejutkan.

Menurutnya, Apandi ketika menjadi Peguam Negara telah menyatakan tidak berlaku sebarang jenayah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta menyucikan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pendirian Apandi itu berlaku di waktu beberapa negara luar telah mengambil tindakan terhadap bank-bank dan orang persendirian yang terbabit dengan jenayah 1MDB.

"Kerana itu apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, perkhidmatan Apandi tidak dilanjutkan kerana sikap dan tindakannya menyucikan 1MDB secara langsung adalah kegagalannya melaksanakan amanah dan tanggungjawab negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung skandal 1MDB.

The Edge yang memetik sumber melaporkan, cadangan itu dirunding dengan kerajaan melalui Apandi.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, Apandi sepatutnya merasa bersalah dan menyesal kerana pendiriannya menyekat jenayah 1MDB dari dihadap ke mahkamah.

Mahathir mendakwa, tindakan Apandi yang sanggup bersekongkol dengan Jho Low amat mencurigakan.

"Kesediaan Jho Low membayar untuk penyelesaian membuktikan bahawa Jho Low mengakui kesalahan. Di sini timbul kecurigaan bahawa kerjasama Apandi dengan Jho Low telah bermula semasa dia Peguam Negara.

"Satu siasatan perlu dilakukan terhadap Apandi sama ada dia membuat keputusan menyucikan 1MDB dahulu kerana hubungannya dengan Jho Low," dakwanya.

Menurut Mahahir, kerajaan bertanggungjawab untuk menyiasat kerana didakwa terdapat unsur campur tangan Apandi di dalam jenayah 1MDB.

"Ini bukan sahaja satu conflict of interest. Lebih dari itu, ia adalah satu jenayah terancang untuk mencuri harta rakyat dan negara dan ini membabitkan bukan sahaja Najib dan Jho Low tetapi juga Apandi," dakwanya.