'Kalau saya Azam Baki, saya letak jawatan' - Rafizi

Rafizi menyifatkan kenyataan Azam yang menganggap kejatuhan kedudukan negara dalam CPI tidak memberi gambaran sebenar keadaan rasuah di Malaysia hanya untuk mempertahankan rekod prestasinya.
Rafizi menyifatkan kenyataan Azam yang menganggap kejatuhan kedudukan negara dalam CPI tidak memberi gambaran sebenar keadaan rasuah di Malaysia hanya untuk mempertahankan rekod prestasinya.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membidas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kenyataan Azam yang menganggap kejatuhan kedudukan negara dalam CPI tidak memberi gambaran sebenar keadaan rasuah di Malaysia dilihat hanya bertujuan untuk mempertahankan rekod prestasinya sepanjang memegang jawatan tersebut.

Menurut Rafizi, ini kerana sejak Azam mula mengetuai SPRM pada tahun 2020, prestasi CPI negara semakin merosot sehingga menyamai kedudukan ketika tahun memuncaknya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2017.

“Kedudukan Malaysia terus turun dari tempat ke-62 (2017), 61 (2018), 51 (2019), 57 (2020) dan 62 (2021). CPI membandingkan tanggapan masyarakat mengenai berleluasanya amalan rasuah di sektor awam di antara 180 buah negara di seluruh dunia.

“Pada kedudukan terkini di paras 62 dari 180 buah negara, ia membayangkan rakyat negara ini merasakan amalan rasuah kebelakangan ini sudah sampai ke peringkat semasa skandal 1MDB memuncak dahulu (2017).

“Jika saya menjadi Azam Baki, saya akan meletakkan jawatan kerana di bawah kepimpinan saya segala usaha rakyat menolak rasuah seolah sia-sia apabila rakyat merasakan keadaan sekarang tidak banyak berbeza dengan semasa skandal 1MDB memuncak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Azam pada Khamis dilaporkan berkata, CPI yang dijadikan sebagai pengukur rasuah di Malaysia merupakan persepsi dan tinjauan beberapa organisasi dan bukanlah kedudukan sebenar.

Bagaimanapun, Azam berkata, kedudukan CPI itu juga tidak boleh ditolak sepenuhnya dan usaha untuk memerangi pemikiran tersebut perlu dilakukan segera untuk menolak rasuah dalam negara ini.

Rafizi berkata, prestasi CPI penting kerana ia diterima pakai di seluruh dunia malah pelabur asing juga menggunakan indeks tersebut untuk menilai tahap rasuah di negara ini.

Tambah beliau, lebih utama, ia adalah satu-satunya kayu ukur paling bebas mengenai tanggapan rakyat terhadap amalan rasuah.

“Kita tidak boleh salahkan rakyat biasa jika mereka berasakan amalan rasuah semakin berleluasa sehingga telah mencapai tahap 2017 ketika skandal 1MDB memuncak.

“Tanggapan rakyat ini dibentuk dengan mengamati tindakan dan gerak-geri SPRM (terutamanya Ketua Pesuruhjayanya) dalam menangani skandal besar yang melibatkan berbilion wang negara.

“Walaupun ada saja ikan bilis yang ditangkap setiap hari, tanggapan rakyat mengenai amalan rasuah tidak akan berubah jika tidak ada tindakan terhadap jerung besar,” ujarnya.

Rafizi turut mengambil satu contoh kes rasuah berkaitan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang beliau dakwa membabitkan penglibatan beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan pemimpin negara.

Katanya, berdasarkan bukti yang dilihat difailkan oleh pengurusan baharu BPMB melalui saman sivil dikemukakan pada Jun lalu, ia sepatutnya lebih daripada mencukupi untuk SPRM mengambil tindakan jenayah sejak tahun 2014 terhadap pelaku di bawah Akta SPRM.

BPMB baru-baru ini memfailkan saman terhadap 27 defendan, termasuk bekas Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim berhubung pinjaman RM400 juta yang diberikan kepada Aries Telcoms (M) Bhd.

Menurut laporan The Edge, RM400 juta yang diluluskan pada Mei 2012 itu bertujuan membiayai sebahagian projek bernilai RM1.3 bilion yang diusahakan oleh Aries untuk memasang rangkaian gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia.