'Ulat' guna Peugeot tawar tambang RM150 ke KL

JPJ menyita kenderaan jenis Peugeot dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada Khamis.
JPJ menyita kenderaan jenis Peugeot dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Sebuah kereta jenis Peugeot antara yang disita selepas dikesan digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi penguatkuasaan seharian itu bertindak hasil intipan kegiatan 'ulat' di lokasi terbabit.

Menurutnya, dua kereta jenis Peugeot dan Proton Persona telah disita manakala pemandunya berusia 38 dan 55 tahun ditahan untuk tindakan susulan.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' itu mengenakan tambang kepada pelancong asing antara RM100 hingga RM150 dari KLIA2 ke Kuala Lumpur.

"Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

JPJ menyita Proton Persona yang dipercayai digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen.
JPJ menyita Proton Persona yang dipercayai digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen.

Beliau berkata, diingatkan juga kepada sesiapa yang bersubahat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) APAD 2010 di bawah akta yang sama.

Katanya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Tegas Khairul Khar, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.