Reman wanita disyaki bunuh suami disambung seminggu lagi

Raub Selamat. Reman terhadap wanita yang disyaki membunuh suaminya dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya pada Jumaat lalu disambung tujuh hari lagi.
Raub Selamat. Reman terhadap wanita yang disyaki membunuh suaminya dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya pada Jumaat lalu disambung tujuh hari lagi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Reman terhadap wanita yang disyaki membunuh suaminya dan seorang rakan lelaki yang bersubahat dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya di sini pada Jumaat lalu disambung tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah reman berkenaan dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Dhilip Nair bermula Jumaat.

"Kedua-dua suspek terlibat telah dikenakan perintah reman sambungan selama seminggu bermula hari ini hingga 28 Julai," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Pada 15 Julai lalu, suspek wanita tersebut yang merupakan seorang suri rumah berusia 35 tahun dipercayai membunuh suaminya sendiri ketika berada di bawah pengaruh dadah.

Ibu kepada dua anak itu kemudian ditahan polis di kawasan berhampiran dipercayai ketika cuba melarikan diri.

Sementara suspek kedua iaitu rakan lelakinya yang berusia 52 tahun ditahan di sekitar Majidee di sini pada waktu malam hari yang sama.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 44 tahun ditemukan maut dengan keadaan kakinya diikat serta kesan lebam di bahagian kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.

Anak sulung pasangan itu yang berusia 11 tahun merupakan saksi kejadian tersebut.

Kedua-dua anak pasangan itu kini di bawah jagaan ayah dan adik kepada mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.