MBK tutup serta-merta premis makanan kotor

Premis makanan di Jalan Tanjung Lumpur di sini, diarahkan tutup serta-merta selepas didapati berada dalam keadaan kotor.
Premis makanan di Jalan Tanjung Lumpur di sini, diarahkan tutup serta-merta selepas didapati berada dalam keadaan kotor.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah premis makanan di Jalan Tanjung Lumpur dekat sini diarahkan tutup serta-merta selepas didapati berada dalam keadaan kotor sekali gus tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.

Lebih menjijikkan apabila sampah tidak dibuang ke dalam tong dan terbiar di atas lantai di bahagian tempat penyediaan makanan selain tidak bersih.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, arahan penutupan premis makanan selama tiga hari itu dibuat bagi membolehkan pemilik menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Pekerja restoran turut dikesan tidak mendapatkan suntikan anti-tifoid.
Pekerja restoran turut dikesan tidak mendapatkan suntikan anti-tifoid.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak menjaga kebersihan dalam penyediaan makanan dan tiada pelalian anti-tifoid.

"Pemilik premis dikenakan denda RM500 di bawah Seksyen 5 (a) Undang-Undang Kecil (UUK) Kawalan dan Penyeliaan Tempat-Tempat Makan 1983.

"Empat pekerja lain dikenakan denda RM250 seorang di bawah Seksyen 107 (2) dan Seksyen 17 (5) UUK Pengendali Makanan 1983. Kesemua kompaun yang dikenakan dianggarkan berjumlah RM1,500," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Justeru, beliau menasihatkan kepada pengusaha makanan supaya peka terhadap tahap kebersihan premis dan penyediaan makanan.

Jelasnya, MBK akan terus mengambil tindakan tegas termasuk penutupan premis jika gagal mencapai tahap kebersihan memuaskan.

"Warga Kuantan dinasihati memilih premis makan yang bersih dan mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan bagi mengelakkan kemudaratan seperti keracunan makanan," ujarnya.