Persepsi PPD di sekolah sebagai 'cari salah' perlu diubah

Mohd Radzi ketika memberi ucapan dalam siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada Khamis.
Mohd Radzi ketika memberi ucapan dalam siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Persepsi atau tanggapan kehadiran Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di sekolah sebagai ‘mencari salah’ perlu diubah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sebagai institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah.

Ujar beliau, perkara tersebut antara penekanan yang digariskan dalam pertemuannya bersama 146 pegawai PPD yang menyertai siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada Khamis.

Selain itu, menurutnya, Pegawai PPD seharusnya menjadi ejen yang bertanggungjawab menyebar luas dan menjelaskan tentang dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada kumpulan sasar iaitu guru, sekolah serta ibu bapa.

“Pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara tersebut.

“PPD juga perlu menjadi pemudah cara antara pihak sekolah dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM sekiranya perkara tersebut tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.

“Mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan antara PPD, sekolah dan guru. Hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah dan guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi pendidikan yang digariskan kementerian,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPM sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara KPM, JPN, PPD serta sekolah.

“Dengan pengalaman serta hubungan baik sedia ada antara PPD, sekolah dan juga guru, saya yakin usaha memperkukuh peranan pegawai PPD ini boleh dilakukan seiring transformasi pendidikan yang digariskan KPM,” ujarnya.