Wanita dipilih jadi Presiden baharu India

Droupadi Murmu - Foto AFP
Droupadi Murmu - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Para pengundi yang turut terdiri daripada wakil-wakil rakyat di India memilih seorang wanita daripada suku kaum asli, Droupadi Murmu menjadi Presiden negara itu pada Khamis.

Murmu, 64, merupakan seorang bekas guru yang pernah menjadi ahli politik dan gabenor di negara itu.

Beliau akan menjadi wanita kedua yang akan memegang jawatan itu pada 25 Julai ini bagi tempoh lima tahun.

Lebih 4,500 ahli perundangan negeri dan persekutuan mengundi dalam pilihan raya Presiden pada Isnin dan undi dikira pada Khamis.

Beliau mendapat sokongan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi yang mendominasi politik persekutuan dan negeri.

Wanita itu kemudiannya menyertai politik arus perdana dan berkhidmat sebagai ahli perundangan di Odisha sebelum menjadi gabenor di Jharkhand.

Beliau menewaskan Yashwant Sinha, bekas Menteri Kewangan dan kini pengkritik Modi.

Presiden India juga bertindak sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera.

Murmu akan mengambil alih jawatan Presiden daripada Ram Nath Kovin. - Agensi