Tiada kenaikan cukai taksiran di Selangor

Sze Han
Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) membuat keputusan tiada kenaikan cukai taksiran di negeri ini terutama dalam keadaan rakyat masih berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, mesyuarat diadakan pada 13 Julai lalu memandang serius isu kenaikan harga barang dan inflasi makanan yang semakin tinggi.

Justeru, beliau berkata, kerajaan Selangor akan terus memberi fokus untuk menggerakkan kembali ekonomi negeri ini melalui pelbagai program pembangunan sumber manusia dan rangsangan menarik masuk pelaburan ke negeri ini agar peluang pekerjaan terus meningkat.

"Rancangan Selangor Pertama (RS-1) juga sedang dirangka dengan fokus untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi merealisasikan kehidupan rakyat Selangor yang lebih mampan dan lestari," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Sze Han berkata, inisiatif kebajikan negeri seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2022 juga sedang dilaksanakan untuk membantu 30,000 keluarga B40 melibatkan peruntukan sebanyak RM108 juta.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, sebarang keputusan untuk menguatkuasakan semakan nilaian baharu cukai taksiran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil kira keadaan hidup dan kesejahteraan rakyat negeri Selangor," ujarnya.