TER Beserah ditutup akibat kes kencing tikus

TER Beserah ditutup sementara mulai Khamis susulan kes jangkitan kencing tikus. Gambar kanan: Notis pemberitahuan berhubung penutupan sementara TER Beserah.
TER Beserah ditutup sementara mulai Khamis susulan kes jangkitan kencing tikus. Gambar kanan: Notis pemberitahuan berhubung penutupan sementara TER Beserah.
A
A
A

KUANTAN - Taman Eko Rimba (TER) Berserah ditutup sementara bermula Khamis susulan terdapat kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus di pusat peranginan itu.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Regina Mariah Jong berkata, penutupan itu adalah disebabkan persekitaran yang kotor dan memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dilakukan.

"TER Beserah tidak mempunyai operator untuk melakukan kerja-kerja menyelenggara. Kita yakin atas faktor itu menyebabkan kawasan terbabit tidak terurus jika dibandingkan dengan beberapa TER yang terdapat di daerah ini.

"Jadi, tarikh bagi pembukaan semula TER Beserah akan diumumkan kemudian," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk setempat termasuk pelancong supaya tidak cuba masuk ke kawasan perkelahan itu sebelum ia disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, kepada mereka ingin berkelah dan mandi-manda boleh berkunjung ke beberapa TER di daerah ini seperti TER Sungai Pandan dan TER Berkelah yang turut menjadi tumpuan pelancong.

Ditanya mengenai kes jangkitan tikus di pusat rekreasi itu, Regina berkata, difahamkan dua remaja kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dipercayai dijangkiti kencing tikus selepas mandi di TER Beserah.

Sehubungan itu, pengunjung TER di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dengan membuang lebihan makanan ke dalam tong sampah disediakan atau dibawa pulang.

"Perbuatan mengabaikan kebersihan di pusat rekreasi menjadi punca utama kes kencing tikus mudah berlaku," katanya.