Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Jumaat. Foto 123RF.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Jumaat. Foto 123RF.
A
A
A

RINGGIT mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Jumaat apabila permintaan terhadap unit negara maju itu lemah susulan pengumuman tuntutan pengangguran lebih tinggi, penurunan jualan rumah dan penyusutan pulangan bon AS.

Perkembangan itu memberi kelebihan kepada ringgit yang meningkat kepada 4.4510/4550 berbanding dolar AS pada 9.01 pagi ini, daripada 4.4575/4590 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit dijangka mencatat prestasi lebih baik susulan hasil bon AS yang rendah.

"Data-data yang dikemaskini daripada AS termasuk tuntutan pengangguran, jualan rumah dan kenaikan inventori gas domestik yang meningkat menunjukkan kemungkinan tindakan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah telah menyebabkan pulangan hasil bon negara maju itu rendah,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2003/2037 daripada 3.1960/1976 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3359/3407 daripada 5.3236/3254.

Ia turut susut berbanding berbanding yen Jepun kepada 3.2406/2440 daripada 3.2128/2142 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.5427/5468 daripada 4.5386/5402. - Bernama