Galaksi tertua di alam semesta ditemui

Galaksi tertua di dunia dikenali sebagai GLASS-z13 ditemui menerusi Teleskop James Webb baru-baru ini. - Foto Naidu & Oesch et al
Galaksi tertua di dunia dikenali sebagai GLASS-z13 ditemui menerusi Teleskop James Webb baru-baru ini. - Foto Naidu & Oesch et al
A
A
A

WASHINGTON - Teleskop James Webb (JWST) berjaya menemui galaksi berusia 13.5 bilion tahun yang kini dianggap sebagai tertua di alam semesta dan dilihat oleh mata manusia baru-baru ini.

Pendedahan itu diumumkan oleh seorang saintis, Rohan Naidu dari Pusat Harvard untuk Astrofizik di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

"Kami berpotensi melihat cahaya bintang paling jauh," katanya.

Galaksi yang dikenali sebagai GLASS-z13 terbentuk hanya 300 juta tahun selepas Letupan Big Bang yang berlaku 13.8 bilion tahun lalu.

Teleskop itu berjaya menangkap pandangan GLASS-z13 dengan menggunakan instrumen Near Infrared Camera (NIRCam) yang mampu mengesan cahaya daripada bintang dan galaksi terawal.

Naidu dan rakan-rakan sekerja melibatkan sebuah pasukan yang dianggotaoi oleh 25 ahli astronomi dari seluruh dunia telah menyerahkan penemuan mereka itu kepada jurnal saintifik.

Teleskop yang bernilai AS$10 bilion (RM44.57 bilion) itu dilancarkan ke angkasa lepas pada Disember tahun lalu.

Ia merupakan teleskop terbesar yang pernah dimiliki oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan dibina dengan kerjasama Agensi Angkasa Lepas Eropah dan Agensi Angkasa Lepas Kanada. - Agensi