Guardiola terkilan pramusim tanpa tiga tonggak

Pep Guardiola - Foto AFP
Pep Guardiola - Foto AFP
A
A
A

KETIADAAN tiga tonggak Manchester City, Phil Foden, John Stones dan Ilkay Gundogan semasa siri pramusim The Citizens di Amerika Syarikat (AS) diakui menjejaskan perancangan menjelang musim baharu juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Malah tanpa berselindung pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui ketidakupayaan skuadnya untuk menikmati pramusim penuh akan merugikan pasukan sebaik perlawanan kompetitif bermula bulan depan.

“Ya, sejujurnya saya mahu Foden, Stones dan Gundogan dalam pramusim kerana tanpa ketiga-tiganya adalah sukar untuk merancang permainan pasukan.

“Ini merupakan musim kedua kami di sini selepas 2017/18, apabila pasukan menamatkan saingan dengan 100 mata, itu satu-satunya pramusim apabila kami semua dapat bersama.

“Namun sejak itu kami berdepan masalah apabila hanya sebahagian pemain sahaja mampu menyertai pramusim di sini," ujarnya menyaksikan pungutan mata pasukan menurun setiap musim.

Manchester City berada di Houston ketika menjinakkan Club America 2-1 bagi pramusim akan menentang Bayern Munich di Green Bay pada Ahad.

Namun kegagalan Foden, Stones dan Gundogan memenuhi syarat kemasukan ke AS menyaksikan ketiga-tiganya terlepas perlawanan persahabatan di negara tersebut.

Ketiga-tiga mereka kini berlatih bersama skuad Bawah 23 tahun City di Croatia, akan menyertai skuad senior apabila pasukan itu pulang dari AS.

Untuk rekod, kebanyakan pelancong yang mahu memasuki AS perlu mendapatkan vaksin penuh Covid-19, senario sama yang berlaku terhadap pemain Chelsea, N'Golo Kante dan Ruben Loftus-Cheek yang disisihkan dalam lawatan pramusim The Blues ke negara itu.

Tambah bekas pengendali Bayern Munich dan Barcelona itu, biarpun insiden itu menjejaskan perancangannya, namun tetap yakin barisan pemainnya mampu melancarkan pembentukan pasukan.

“Musim ini saya fikir, mungkin kami akan bersama, namun disebabkan situasi melanda tiga pemain ini, kami tidak boleh bersama.

“Apapun pasukan perlu bergerak ke hadapan dan hari ini semua perlu menyesuaikan diri,” ujarnya.