Laman Warisan Kampung Laut tarikan baharu di Kelantan

Masjid Kampung Laut di Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat.
Masjid Kampung Laut di Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Laman Warisan Kampung Laut bernilai RM20 juta yang dibangunkan di perkampungan serunding paling terkenal di negeri ini menjadi tarikan baharu di Kelantan selepas mula beroperasi sepenuhnya pada awal bulan ini.

Pengurus Besar (Bahagian Pelaksanaan Projek) Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin berkata, Laman Warisan Kampung Laut tersebut mula menerima lebih 300 pengunjung domestik dan antarabangsa pada hari biasa serta meningkat sehingga 700 pada hujung minggu.

Katanya, pembangunan itu dilengkapi dengan tiga komponen utama iaitu Laman Warisan Serunding dan Laman Warisan Seni serta Masjid Kampung Laut di tanah seluas 1.04 hektar di tepi sungai Kelantan.

“Pembinaan yang bermula pada tahun 2019 ini siap dan dibuka sepenuhnya pada awal Julai ini melibatkan fasa satu iaitu Laman Warisan Serunding menempatkan sembilan usahawan serunding di 11 lot kedai dan Laman Warisan Seni yang menempatkan 12 usahawan seni tradisional seperti wau, batik serta kraftangan.

“Fasa kedua melibatkan Masjid Kampung Laut berusia lebih 400 tahun yang mana dipindahkan semula hampir ke tapak asal masjid ini di kampung ini selepas dipindah sementara di Nilam Puri, Kota Bharu selama 50 tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan media ke Laman Warisan Kampung Laut, di sini, pada Khamis.

Arizan (kanan) melihat serunding keluaran usahawan, Wan Rosnani Wan Salleh (dua dari kiri).
Arizan (kanan) melihat serunding keluaran usahawan, Wan Rosnani Wan Salleh (dua dari kiri).

Turut sama, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Beliau berkata, projek itu dibangunkan secara mampan dengan mengekalkan warisan sedia ada di Kampung Laut, di sini, selain bertujuan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat menerusi produk-produk makanan tradisional keluaran tempatan serta kraftangan.

Artikel Berkaitan:

“Lokasi ini sangat selesa dengan pemandangan menarik pada waktu petang di tepi sungai selain terdapat benteng penahan banjir.

“Kami menyasarkan peningkatan ekonomi penduduk setempat secara langsung dan tidak langsung sehingga dua kali ganda dalam tempoh setahun,” katanya.

Katanya, pengunjung juga boleh mendapatkan makanan tradisional seperti gelembung buaya dan dodol.