Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan ketidaktentuan di Kesatuan Eropah.- Gambar hiasan
Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan ketidaktentuan di Kesatuan Eropah.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan ketidaktentuan di Kesatuan Eropah (EU) selepas Perdana Menteri Itali Mario Draghi meletak jawatan, kata seorang penganalisis.

Laporan media menyatakan tindakan Draghi pada hari ini telah menyebabkan ekonomi ketiga terbesar EU itu mengalami kemelut politik terbaharu.

Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.4575/4590 berbanding dolar AS daripada 4.4500/4540 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata tindakan pemimpin Itali itu telah mencetuskan tumpuan pelabur yang melihat dolar AS sebagai mata wang selamat berikutan risiko terbabit.

"Ketidaktentuan ini sudah semestinya buruk dari aspek perpaduan Eropah dan menyebabkan lebih banyak mata wang seperti ringgit akan mengalami kesannya.

"Berikutan itu, pelabur pasaran dijangka lebih memilih mata wang selamat seperti dolar AS selain faktor kemungkinan pihak Rizab Persekutuan AS menaikkan lagi 75 mata asas dalam kadar faedah pada mesyuarat minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ringgit menyaksikan dagangan lebih rendah walaupun di tengah-tengah laporan positif mengenai aliran gas Nord Stream 1 dari Rusia yang akan kembali beroperasi.

Dalam pada itu, ringgit sebaliknya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1960/1976 daripada 3.1978/2009 pada Rabu dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3236/3254 daripada 5.3498/3546, sebelum ini.

Ringgit juga tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2128/2142 daripada 3.2202/2233 semalam serta mengukuh berbanding euro kepada 4.5386/5402 daripada 4.5586/5627. - Bernama