Kes Covid-19 meningkat, HFMD, ILI turun di Kedah

Gambar kecil: Mohd Hayati
Gambar kecil: Mohd Hayati
A
A
A

ALOR SETAR – Kedah merekodkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 namun mencatatkan penurunan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta wabak Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Saluran Pernafasan Atas (URTI) pada Minggu Epidemiologi ke-28 (ME28).

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sebanyak 491 kes Covid-19 direkodkan dalam tempoh 10 hingga 16 Julai di negeri ini iaitu peningkatan sebanyak 34.5 peratus berbanding dengan ME27.

Beliau memaklumkan, majoriti kes positif pada ME28 melibatkan saringan bergejala sebanyak 53.6 peratus diikuti saringan kontak rapat sebanyak 15.7 peratus dan saringan kendiri sebanyak 15.3 peratus.

“Sepanjang 2022, Kedah telah mencatatkan sejumlah 302,652 kes jangkitan Covid-19 dengan kes baharu pada 21 Julai 2022 adalah sebanyak 109 kes.

“Majoriti kes ini melibatkan kategori umur 19 antara 59 tahun iaitu sebanyak 69 kes, manakala warga emas mencatatkan sebanyak 18 kes,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Hayati bagaimanapun, menyatakan kes yang dilaporkan hanya menunjukkan gejala ringan dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

“Kes memerlukan rawatan dimasukkan ke wad Covid-19 di hospital dan kes bergejala ringan dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi di klinik kesihatan atau secara maya memandangkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 telah ditutup pada 15 Mei lepas,” katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan secara umumnya keadaan pandemik di negeri Kedah adalah terkawal dan pemantauan situasi Covid-19 diteruskan dengan teliti.

“Bagi kes HFMD, sebanyak 105 kes baharu HFMD dilaporkan di Kedah iaitu penurunan 81 kes atau 43.6 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya.

“Dengan pertambahan ini, jumlah kes HFMD di Kedah sehingga 16 Julai 2022 adalah sebanyak 6,348 dengan kesemua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar, malah tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya.

Mohd Hayati memberitahu, tiada wabak baharu HFMD yang dilaporkan sepanjang ME28.

“Wabak ILI dan URTI turut mencatatkan penurunan pada ME28 dengan hanya satu wabak yang melibatkan pelajar-pelajar asrama institusi pendidikan tinggi dilaporkan,” katanya.

Katanya, sebanyak 24 wabak ILI/URTI melibatkan daerah Kuala Muda (6), Sik (4), Baling (3) dan Bandar Baharu (3), Kubang Pasu (2) dan Yan (2) serta Kota Setar (1), Kulim (1), Langkawi (1) dan Pendang (1).

Tambah Mohd Hayati, kebanyakan kejadian wabak ini melibatkan pelajar-pelajar sekolah berasrama dengan jumlah pelajar yang ramai.

“Dengan perkembangan ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit berjangkit,” katanya.