‘Jangan guna perkhidmatan awam untuk kepentingan politik’

Adnan Mat - Foto Bernama
Adnan Mat - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan semua pihak terutamanya ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, sebagai penjawat awam, mereka semua tetap berpegang teguh kepada konsep neutral, profesionalisme dan menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

“Cuepacs ingin menegaskan bahawa pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.

“Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Putrajaya supaya berusaha menjadikan perkhidmatan awam lebih seimbang dari segi kaum bagi mencerminkan semangat slogan 'Keluarga Malaysia' Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ulas Adnan, dakwaan Teresa berhubung dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam itu satu tuduhan berat dan tidak berasas.

“Perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti difikirkan Ahli Parlimen Seputeh itu.

“Kenyataan Teresa mengenai struktur gaji yang rendah dan kurangnya peluang untuk kemajuan kerjaya antara faktor utama menghalang bukan bumiputera menyertai perkhidmatan awam juga sangat tidak tepat kerana ia melibatkan semua warga perkhidmatan awam ketika tanpa mengira bangsa,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini, ramai yang tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji yang rendah berbanding pekerjaan dalam bidang lain.

“Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

“Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara serta rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

“Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan mereka jugalah kumpulan pertama yang berada di barisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat,” jelasnya.