Hassan pengganti Maloney?

Hassan
Hassan
A
A
A

ADAKAH pengendali pasukan bawah-19 negara, Hassan Sazali Waras bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih skuad kebangsan bawah-23 (B-23)?

Ia selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar tidak menolak kemungkinan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN akan dinaikkan pangkat mengendalikan pasukan B-23 selepas berjaya membawa pasukan menjuarai Piala AFF B-19 baru-baru ini.

“Mungkin besar kemungkinan. Saya bukannya bercakap Ya bahawa dia akan dilantik menjadi pengendali bawah-23.

“Itu semua terpulang kepada penilaian pengarah teknikal, pengerusi jawatankuasa teknikal dan Ketua Jurulatih Harimau Malaya,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kelima FAM di Kelana Jaya pada Khamis.

Sebelum ini nama Hassan disebut-sebut sebagai calon bagi menggantikan Maloney yang mengumumkan perletakan jawatannya, sebagai pengendali skuad B-23 negara, secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Selain Hassan, terdapat beberapa nama yang dikhabarkan untuk mengisi kekosongan yang dtinggalkan Maloney, antaranya ialah pembantu pasukan Harimau Malaya, E Elavarasan dan Paul Marti Vicente.

Selain itu, nama bekas jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak Bum turut dikaitkan bagi mengisi jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Saifuddin ketika diminta mengukas berkenaan kriteria calon jurulatih bawah-23 tahun, beliau memberitahu individu itu perlulah mempunyai hala tuju yang sama seperti Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

“Kita mahu individu yang dilantik mempunyai hala tuju yang sama seperti Ketua jurulatih. Jadi mereka kena ikut 'template'.

“Kalau pasukan senior ada latihan pagi dan petang, jadi mereka kena ikut 'template' tersebut.

“Sebab kita mahu ia selari. Ia kerana sebab pemain-peman bawah-23 inilah yang akan naik nanti untuk bermain dalam pasukan senior,” ujarnya.