Purata saiz isi rumah Kelantan 4.9 orang, tertinggi di Malaysia

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan purata saiz isi rumah persendirian paling tinggi iaitu 4.9 orang bagi setiap isi rumah pada 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia diikuti Sabah (4.7 orang) dan Terengganu (4.1 orang) manakala negeri yang mencatatkan purata saiz isi rumah terendah adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.3 orang).

Katanya, Sabah mencatatkan penurunan saiz purata yang paling ketara iaitu daripada 5.5 orang pada 2010 kepada 4.7 orang pada 2020.

Banci Malaysia 2020 merekodkan bilangan penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta (2010: 27.5 juta) dengan kadar purata pertumbuhan penduduk tahunan 1.7 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2020 (2000-2010: 2.1 peratus).

"Sementara itu, bilangan penduduk di Kelantan berjumlah 1.8 juta (1,792.5) berbanding 1.4 juta pada 2010 dengan kadar purata pertumbuhan penduduk tahunan 2.0 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2020 (2000-2010: 1.3peratus),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, DOSM menganjurkan Taklimat dan Penyampaian Buku Penerbitan Statistik Subnasional DUN kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan dan pembentangan telah disampaikan Dr Mohd Uzir Mahidin merangkap Pesuruhjaya Banci 2020, di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Sesi berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan majlis turut dihadiri Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya’kub dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kenyataan itu turut memaklumkan, peralihan demografi Malaysia menunjukkan kadar kelahiran kasar (CBR) menunjukkan penurunan kepada 14.4 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2020 dan kadar kematian kasar (CDR) juga menurun kepada 5.1 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2020.

"Kelantan berhadapan dengan penurunan kadar kelahiran kepada 19.0 bagi setiap 1,000 penduduk pada tahun 2020.

"Penemuan utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menunjukkan peratusan penduduk tertinggi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan adalah di N.07 Panchor seramai 75,940 orang, diikuti N.26 Bukit Panau seramai 68,462 orang dan yang ketiga tertinggi di N.08 Tanjong Mas (66, 760 orang),” katanya.

Menurut kenyataan itu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2.4 peratus pada 2021 berbanding penurunan sebanyak 1.2 peratus pada 2020.

Katanya, berbanding KDNK Nasional, ekonomi Kelantan dimonopoli oleh sektor Perkhidmatan dan Pertanian yang menyumbang 92.0 peratus kepada KDNK Kelantan.

"Pertumbuhan ekonomi Kelantan disumbang oleh sektor perkhidmatan sebanyak 69.2 peratus, diikuti oleh sektor pertanian sebanyak 22.8 peratus dan sektor pembuatan menyumbang sebanyak 4.9 peratus.

"Selain itu sektor pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian masing-masing menyumbang 1.6 peratus dan 1.4 peratus,” menurut kenyataan itu. - Bernama