Zainal Abidin harap Penang FC kekalkan disiplin tinggi

Perlawanan Liga Super 2022 Penang FC menentang JDT di Stadium Bandaraya malam ini.
Keputusan semasa Pulau Pinang 0-1 JDT. - Foto Bernama
Perlawanan Liga Super 2022 Penang FC menentang JDT di Stadium Bandaraya malam ini. Keputusan semasa Pulau Pinang 0-1 JDT. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Penang FC, Zainal Abidin Hassan mahu mengubah cara berfikir anak buahnya agar terus menunjukkan disiplin yang tinggi dalam perlawanan seterusnya.

"Saya nak tukar mindset mereka agar tidak cuma menunjukkan disiplin yang tinggi apabila menentang pasukan seperti Terengganu FC dan Johor DT (JDT). Mereka kena kekalkan standard walau siapapun pasukan lawan.

"Terdapat sedikit kecuaian yang telah memberi pasukan lawan peluang mendapatkan gol kemenangan, tetapi dari segi semangat bermain ada banyak peningkatan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang JDT malam tadi.

Begitupun, Zainal Abidin memuji prestasi dan disiplin yang ditunjukkan Skuad Harimau Kumbang dalam perlawanan menentang pendahulu Liga Super itu walaupun kalah 0-1 di hadapan 6,252 penonton di Stadium Bandaraya semalam.

Beliau berpendapat sekiranya momentum disiplin boleh dikekalkan dan digandingkan dengan serangan yang lebih tajam pada masa akan datang, beliau yakin pasukan itu boleh pergi lebih jauh.

Penang setakat ini hanya mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan apabila menang sekali, seri empat kali dan tewas enam kali.

Sementara itu, jurulatih kecergasan JDT Jorge Alvarez turut mengucapkan tahniah kepada semua pemain kerana telah menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi dalam perlawanan.

"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar menentang Pulau Pinang kerana pasukan lawan sentiasa bermain dengan baik di tempat sendiri.

"Separuh masa kedua perlawanan malam tadi kami lebih tersusun berbanding ketika separuh masa pertama kerana pada awalnya kami tidak jelas dengan corak permainan mereka, namun dapat membaca pergerakan lawan selepas itu,” katanya. - Bernama