Pastikan isu tuntutan waris kesultanan Sulu tidak berulang

Azhar Azizan pada Rabu tampil menjelaskan keputusan beliau untuk tidak membenarkan isu tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan di Dewan Rakyat.
Azhar Azizan pada Rabu tampil menjelaskan keputusan beliau untuk tidak membenarkan isu tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan di Dewan Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menyelesaikan segera isu tuntutan waris kesultanan Sulu bagi mengelakkan ia terus mengancam kedaulatan negara.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam temubual eksklusifnya bersama Sinar Harian berkata, tuntutan waris kesultanan Sulu berpunca daripada keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mungkir janji untuk membayar RM5,300 setahun kepada pihak berkenaan sejak tahun 2013.

Menurutnya, Najib mengarahkan kerajaan menghentikan bayaran wang serahan kepada waris kesultanan itu kerana mendakwa mereka dalang pencerobohan Lahad Datu.

Kegagalan mengemukakan bukti kukuh mengenai pencerobohan itu menjadi titik permulaan waris kesultanan Sulu mengambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa terhadap kerajaan kerana mungkir janji menghentikan bayaran RM5,300 setahun.

Jelas apa yang didedahkan oleh Dr Mahathir itu harus diteliti dan dijadikan iktibar kerana ia penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat kerajaan berhubung isu sensitif melibatkan perjanjian dan sebagainya tidak akan berulang lagi selepas ini.

Dr Mahathir sebelum ini turut menafikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjadi punca isu berkenaan timbul.

Beliau berkata, Tommy menulis surat kepada waris Sultan Sulu untuk menyatakan rasa kesal dan menawarkan bayaran sebanyak RM48,000 bagi menyelesaikan pembayaran yang dihentikan.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada Rabu menjelaskan keputusan tidak membenarkan isu tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan di Parlimen bagi mengelak segala strategi dan perancangan kerajaan dalam mendepani kes yang masih berjalan di mahkamah itu diketahui pihak lawan.

Penjelasan itu diberikan Azhar Azizan susulan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keputusan tidak meluluskan usul untuk membahaskan isu berkenaan.

Tegas Azhar Azizan, Malaysia tidak seharusnya menunjukkan sebarang strategi bagi mengelakkan pihak lawan boleh mengambil sesuatu yang diperkatakan itu sebagai ‘peluru’ untuk mereka kerana strateginya juga sama seperti menghadapi peperangan di medan perang.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin turut menolak usul untuk membincang dan membahaskan mengenai ancaman keselamatan waris Kesultanan Sulu.

Usul yang dibawa Ketua Pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditolak susulan tidak memenuhi Peraturan 23 (2) DUN Sabah.