2,053 hektar tanaman durian musang king di Sabah hingga 2021

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seluas 2,053 hektar tanaman durian musang king telah dibangunkan di Sabah sehingga tahun lepas yang dilihat mampu meningkatkan pendapatan penduduk di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Rabu.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk James Ratib berkata, industri tanaman durian khususnya musang king adalah antara tanaman keutamaan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 hingga 2025.

Justeru, katanya melalui Rancangan Malaysia Ke-12 kementeriannya melalui Jabatan Pertanian negeri telah dan akan membangunkan 660 hektar tanaman durian premium musang king dan Duri Hitam melibatkan 53,460 pokok di 20 daerah negeri itu.

"Pembangunan tanaman durian ini dilaksanakan melalui Projek Pembangunan Tanaman Durian Premium melibatkan bantuan bernilai RM10,000 hingga RM25,000 per hektar.

"Bantuan ini adalah dalam bentuk pembersihan kawasan tanah, bahan tanaman anak benih berkualiti dan input pertanian baja serta peralatan ladang,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) bertanyakan rancangan kerajaan negeri menjadikan durian premium seperti musang king sebagai tanaman menambah pendapatan rakyat.

James berkata, menerusi Projek Pembangunan Tanaman Durian Premium, sebanyak 660 peserta projek diberi kursus dan latihan asas penanaman durian di Pusat Latihan Petani di Sandakan, Kota Marudu dan Tenom bagi memastikan penanaman durian dilaksanakan mengikut Amalan Pertanian Baik.

Katanya, bagi program penyelidikan, Jabatan Pertanian sedang melaksanakan pembiakbakaan tanaman musang king untuk menghasilkan varieti baharu dan varieti rintang penyakit, selain penyelidikan dari segi pengurusan agronomi tanaman durian telah dilaksanakan dan diguna pakai.

"Pada 2022 sebanyak 21,500 anak benih musang king dan 4,000 Duri Hitam akan dikeluarkan oleh stesen Pertanian. Ketulenan bahan tanaman yang dikeluarkan disahkan melalui Program Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT).

"Selain Jabatan Pertanian, terdapat empat buah Nurseri Swasta telah menerima sijil SPBT dengan jumlah pokok induk sebanyak 482 pokok Musang King dan 62 pokok Duri Hitam sebagai sumber mata tunas dalam pembiakan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan harga musang king di ladang pada kadar RM30 sekilogram, pendapatan kasar bagi sehektar melibatkan 81 pokok setahun musang king adalah sebanyak RM349,920 dengan pengurusan ladang yang optimum.

"Pendapatan pengusaha durian dapat dipertingkatkan lagi melalui aktiviti hiliran seperti aiskrim durian, kek durian, dodol dan produk-produk lain berasaskan durian,” katanya. - Bernama