Pra-kelayakan RFP LRT bermula 25 Julai

Kon Yeow (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Zi Song pada sidang akhbar di Komtar pada Rabu.
Kon Yeow (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Zi Song pada sidang akhbar di Komtar pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Syarikat yang berminat untuk mengambil bahagian dalam peringkat pra-kelayakan bagi proses Request for Proposal (RFP) pelaksanaan komponen Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas boleh mengemukakan dokumen berkaitan bermula 25 Julai ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tempoh pra-kelayakan tersebut akan berlangsung selama sebulan dengan tarikh akhir pada 24 Ogos depan.

Menurutnya, syarikat yang berminat boleh melayari pautan https://tender.penanginfra.com/home untuk pendaftaran.

"Melalui laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn Bhd iaitu penanginfra.com, syarikat yang berminat boleh memohon untuk mendapatkan akses bagi memuat turun dokumen pra-kelayakan.

"Bayaran untuk dokumen berkaitan adalah RM2,000 yang perlu dibayar kepada PIC. Bayaran perlu dibuat kepada PIC di nombor akaun Maybank, 557054623637.

"Tempoh pendaftaran dalam talian adalah bermula 21 Julai hingga 8 Ogos manakala tempoh untuk memuat turun dokumen adalah mulai 25 Julai hingga 14 Ogos," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Rabu.

Tambah Kon Yeow, tarikh dan tempoh untuk penghantaran dokumen kepada PIC adalah selewat-lewatnya jam 12 tengah hari, 24 Ogos.

"Proses penilaian akan menyusul selepas tarikh berkenaan dan dijangka mengambil masa dua minggu iaitu daripada 25 Ogos hingga 8 September ini.

"Syarikat yang berjaya disenarai pendek berdasarkan pengalaman, kepakaran dan kebolehan dari segi teknikal serta kewangan akan dijemput menyertai proses RFP bagi komponen LRT Bayan Lepas," katanya.

Beliau menambah, proses tender untuk komponen-komponen Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) juga boleh menggunakan portal tender yang sama nanti.

"Oleh demikian, kontraktor yang berminat dalam pelaksanaan PTMP dan Penang South Islands (PSI), mereka boleh melayari laman sesawang ini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek- projek berkenaan.

Projek LRT merupakan salah satu projek di bawah PTMP bernilai RM46 bilion yang mana, ia turut melibatkan monorel dan tiga buah lebuhraya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang mana, ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada pelajar cemerlang, Yeoh Zi Song, 21, selepas berjaya memasuki Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat.