Kok Chi lambangan kepada pelbagai aspek positif sukan tanah air

Kok Chi
Kok Chi
A
A
A

BERITA pemergian bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi nyata mengejutkan penggiat sukan tanah air.

Antara yang terkesan dengan pemergian mendiang adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama erat dalam kemajuan sukan negara.

“Siapa yang mengenali mendiang pasti akan terasa satu kehilangan besar dalam sukan negara kerana jasa bakti disumbangkan beliau yang menghabiskan seluruh hidupnya demi kemajuan sukan negara ini.

“Berita pemergian bekas Setiausaha Agung MOM mendiang Datuk Sieh Kok Chi adalah sesuatu yang amat menyedihkan kerana jasa dan sumbangan mendiang amat besar kepada arena sukan negara.

“Mendiang yang meninggalkan kita pada usia 83 tahun telah mencurahkan bakti kepada sukan negara sebagai atlet, pentadbir dah pemimpin sukan untuk tempoh hampir enam dekad.

“Mendiang adalah lambangan kepada pelbagai aspek positif dalam sukan - daripada semangat kesukarelawan jitu yang dipamerkannya, kegigihan membantu persatuan sukan kebangsaan memperkukuh sistem tadbir urus efektif serta inisiatif mencetuskan pelbagai bentuk pengiktirafan kepada warga sukan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Shapawi turut menyifatkan pemergian Kok Chi itu telah meninggalkan ruang besar dalam arena sukan negara Uyang akan sukar diisi oleh generasi pentadbir sukan ketika ini.

Shapawi
Shapawi

“Saya sendiri bertuah kerana pernah sama-sama berkhidmat dalam sukan negara bersama mendiang, terutama jalinan kerjasama di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kali terakhir saya berjumpa dengan mendiang semasa kami bersama-sama meraikan beliau dengan Datuk Mazlan Ahmad dan rakan-rakan dari Persatuan Kriket Melayu Malaysia selepas Aidilfitri tahun ini.

“Mendiang seperti biasa akan sentiasa memberikan pandangan dan nasihatnya kepada saya walaupun keadaannya tidak begitu sihat seperti sebelum ini. Mendiang telah meninggalkan ruang besar dalam arena sukan negara yang akan sukar diisi oleh generasi pentadbir sukan ketika ini.

“Ianya adalah satu kehilangan besar dan saya mewakili seluruh warga MSN menghulur ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang,” ujarnya.

Sebelum ini pada Selasa, Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria memaklumkan pemergian Kok Chi pada Sabtu lalu ketika berusia 83 tahun.

Untuk rekod, Kok Chi yang memulakan perkhidmatan secara sukarela kepada MOM sejak 1974 pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas badan induk itu sebelum dipilih sebagai Setiausaha Kehormat pada 1992.

Mendiang menumpukan kerjayanya kepada MOM tanpa apa-apa imbuhan sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat (1992-2013) dan Setiausaha Agung (2013-2015) serta Penolong Setiausaha Agung (2015-2018) MOM.

Mendiang akan disemadikan di Nirvana Crematorium Shah Alam, Jumaat ini.