Polis cekup penganggur aktif edar dadah

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan heroin dan methamphetamine yang berjaya dirampas daripada seorang lelaki di Pantai Remis, Manjung pada Isnin.
Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan heroin dan methamphetamine yang berjaya dirampas daripada seorang lelaki di Pantai Remis, Manjung pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang aktif di sekitar daerah Manjung dengan tertangkapnya seorang penganggur dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Kruing, Pantai Remis, Manjung pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dadah jenis heroin dan methamphetamine seberat 9.7 kilogram (kg) bernilai lebih RM970,098.10 turut dirampas dalam operasi terbabit.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Manjung kira-kira jam 10 malam itu juga menahan lelaki berusia 56 tahun.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan peket heroin seberat 2.06 gram dan methamphetamine seberat 1.16 gram. Pemeriksaan dalam kereta turut menemui tiga peket ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 2.77 kg.

"Pemeriksaan susulan di sebuah lagi rumah milik suspek menemukan dadah sama dalam tujuh bungkusan seberat 6.93 kg," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Rabu.

Mior Faridalathrash berkata, suspek yang mempunyai empat rekod lampau dalam jenayah narkotik itu didapati positif morfin setelah menjalani ujian saringan air kencing.

"Hasil siasatan, suspek merupakan warga tempatan disyaki aktif mengedar sekitar daerah itu sejak enam bulan lalu. Keseluruhan dadah dirampas ini boleh digunakan oleh lebih 100,000 penagih.

"Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah motosikal bernilai RM3,500," katanya.

Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari sehingga sehingga 25 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.