Lelaki cedera, kereta terbabas rempuh kedai di Segari

Bomba mendapati kereta jenis Toyota Altis terbabas dan merempuh deretan kedai, menyebabkan mangsa tersepit, dalam kejadian awal pagi Rabu di Segari, dekat Lumut. - Foto JBPM Perak
Bomba mendapati kereta jenis Toyota Altis terbabas dan merempuh deretan kedai, menyebabkan mangsa tersepit, dalam kejadian awal pagi Rabu di Segari, dekat Lumut. - Foto JBPM Perak
A
A
A

LUMUT: Seorang lelaki cedera apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu merempuh kedai di Batu 13, Tebuk Yan, Segari, dekat sini, awal pagi Rabu.

Lelaki berusia 45 tahun itu tersepit selepas keretanya merempuh sebuah daripada empat deret kedai yang telah ditinggalkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 3.19 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis segera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis Toyota Altis telah terbabas dan merempuh deretan kedai menyebabkan mangsa tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hisham Hamzah tamat jam 4.15 pagi. - Awani