Prokhas cuma kendali aset tak menguntungkan bukan TH

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Parlimen hari ini.
Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Parlimen hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat tujuan khas (SPV), Prokhas Sdn Bhd tidak mengendalikan aset dan harta Lembaga Tabung Haji (TH), sebaliknya hanya menguruskan aset tidak menguntungkan yang berjumlah RM19.9 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menjelaskan, Prokhas mengendalikan beberapa perkara lain kerana mereka merupakan golongan profesional.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menyatakan, perkara itu sama sekali tidak timbul pertikaian bangsa atau lain-lain.

Katanya, Prokhas tidak menguruskan TH, sebaliknya menguruskan aset tidak menguntungkan RM19.9 bilion, sebab itu kerajaan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) tersebut.

“Salah sama sekali jika menuduh Prokhas menguruskan TH, bukan macam itu. Prokhas hanya menguruskan aset yang tidak menguntungkan itu.

“CEO (Tabung Haji) masih lagi Datuk Seri Zukri Samat, Pengerusi masih lagi Tan Sri (ketika ini adalah Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof).

"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab atas segala urusan dalam Tabung Haji, bukannya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) atau Prokhas,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Mujahid berkata, isu TH sengaja dimainkan oleh pihak-pihak yang bersikap perkauman seolah-olah institusi yang mengendalikan urusan ibadah haji itu diuruskan oleh orang Cina.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini tidak masuk akal, sebagai rakyat Malaysia, kami tak boleh terima.

"Kami dalam usaha selamatkan RM9.7 juta wang pendeposit iaitu milik orang Islam dan sudah tentu kepentingan Tabung Haji menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid memberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prokhas, Chen Yin Peng tidak menguruskan aset dan harta TH, sebaliknya harta itu diuruskan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (Urusharta).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, pelantikan Yin Peng itu bagaimanapun tidak mengikut Akta 535 Pasal 6(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada seorang pun boleh dilantik menjadi anggota lembaga melainkan jika dia seorang Muslim dan warganegara Malaysia.

“Ini yang tak jelas oleh menteri, kenapa lantik Prokhas Sdn Bhd sedangkan ada kepakaran dalam SPV.

"Kita bukan anti bukan Islam atau rasis, tapi rujuk pada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.