Liga-M 2023: Liga Super bakal tampilkan 18 pasukan

JDT dan Sabah antara dua pasukan mewarnai saingan Liga Super musim ini. - Foto JOHOR Southern Tigers
JDT dan Sabah antara dua pasukan mewarnai saingan Liga Super musim ini. - Foto JOHOR Southern Tigers
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah bersedia untuk melakukan penstrukturan Liga Malaysia (Liga-M) yang menyaksikan penyertaan 18 pasukan dalam saingan Liga Super manakala Liga Premier dihentikan sementara bermula musim 2023.

Melalui penstrukturan itu, badan pentadbir Liga-M akan turut memperkenalkan saingan Liga Simpanan bermula musim depan melibatkan 18 pasukan Liga Super 2023 yang perlu menyediakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) masing-masing bagi saingan tersebut.

MFL dijangka mengusulkan cadangan penstrukturan berkenaan dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga yang berlangsung esok dengan kesemua 21 rakan kongsi terdiri daripada 12 pasukan Liga Super dan sembilan wakil Liga Premier akan membuat undian terhadap usul tersebut.

Menurut sumber terdekat MFL antara objektif utama penstrukturan itu adalah menjadikan saingan liga tempatan lebih kompetitif dan memberikan lebih banyak minit permainan kepada pemain.

"Penstrukturan ini antara lain disebabkan kita merujuk tinjauan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mendapati pemain bola sepak di Malaysia kekurangan perlawanan kompetitif di peringkat domestik.

"Jadi bayangkan penyerang utama skuad kebangsaan kita ketika ini hanya beraksi kurang daripada 30 perlawanan setahun termasuk saingan liga, Piala FA dan Piala Malaysia. Itu belum tolak jika dia cedera dan diketepikan," ujarnya.

Awal Januari lepas, media melaporkan FIFA mengesyorkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya saingan Liga Super dan Liga Premier dipanjangkan bagi menyediakan jumlah perlawanan yang ideal kepada pemain berdasarkan tinjauan dilakukan badan induk dunia itu.

FIFA ketika itu mencadangkan supaya saingan liga dijalankan secara tiga pusingan dengan setiap pasukan akan bertemu antara satu sama lain sebanyak tiga kali, berbanding dua perlawanan yang perlu dilalui dalam format pertandingan sekarang.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, sebanyak 12 pasukan bertanding dalam Liga Super sementara 10 dalam Liga Premier yang menyaksikan pasukan kedua-dua liga berkenaan masing-masing menempuh 22 dan 18 aksi semusim.

Mengambil contoh beberapa liga terbaik di dunia, setiap pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga (Sepanyol) dan Serie A (Itali) masing-masing menempuh 38 perlawanan semusim manakala bagi kancah Bundesliga (Jerman) setiap pasukan beraksi sebanyak 36 perlawanan.

Sementara di peringkat Asia Tenggara, saingan liga di Indonesia menampilkan 34 perlawanan keseluruhan sementara liga di Thailand dan Vietnam masing-masing 30 dan 26 perlawanan.

Sumber berkata, penstrukturan Liga Super akan menyaksikan setiap pasukan mengharungi 34 perlawanan liga semusim dan pemain berpeluang mencapai bilangan lebih 40 perlawanan jika pasukan diwakili berjaya mara lebih jauh dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Katanya, dari sudut komersial, lebih banyak perlawanan akan menyaksikan lebih banyak siaran langsung sekali gus bukan sahaja MFL, malah pasukan turut boleh menarik lebih banyak penaja yang akan memberi kelebihan daripada aspek kewangan.

"Ini juga memberi peluang kepada pasukan kecil bermain menentang pasukan elit dan ia akan menarik lebih ramai penyokong ke stadium untuk menyaksikan pemain-pemain hebat beraksi, penyokong sudah tentu teruja," kata sumber.

Dalam pada itu, beliau berkata, Liga Simpanan yang bakal diperkenalkan tidak boleh dianggap sebagai medan pembangunan pemain sebaliknya pentas persediaan mereka ke Liga Super dengan liga tersebut turut membenarkan penyertaan pemain import. - Bernama