RUU AGS bukti gangguan seksual langgar hak asasi manusia

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021 merupakan menifesfasi penting bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia, suatu bentuk keganasan berasaskan gender dan diskriminasi terhadap mangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, perkara ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita yang disertai sejak 5 Julai 1995.

Katanya, ia juga selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memastikan kesamarataan setiap individu dan menolak sebarang bentuk diskriminasi termasuklah berasaskan gender.

“RUU ini akan menjadi suatu akta yang mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan gender.

“Ia seterusnya mengadakan peruntukan bagi hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual melalui penubuhan tribunal bagi antigangguan seksual selain menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dengan mengadakan peruntukan yang berkaitan dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan RUU AGS untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.

Rina menambah, kementeriannya mengambil inisiatif untuk menggubal RUU AGS setelah mengambil kira dua aspek.

“Pertama, isu gangguan seksual yang terus berlaku dalam masyarakat dan kedua, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus berhubung gangguan seksual,” jelasnya.

Tegasnya, isu gangguan seksual perlu diberi perhatian khusus kerana jika dibiarkan, ia boleh mendorong kepada perlakuan jenayah seksual yang lebih berat dan serius.

“Lain-lain kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sekalipun termasuklah rogol,” ujarnya.

Rina berkata, perlakuan gangguan seksual tidak wajar dianggap kecil, remeh dan tidak penting kerana ia memberi kesan negatif terutamanya kepada psikologi mangsa.