22 Cabang PKR Selangor buat laporan polis terhadap Najib

Ahmad Mustain (empat depan kanan) bersama ahli PKR Cabang Sabak Bernam menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Besar pada Selasa.
Ahmad Mustain (empat depan kanan) bersama ahli PKR Cabang Sabak Bernam menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Besar pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Semua 22 Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung isu tuntutan daripada waris Kesultanan Sulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman berkata, laporan polis itu dibuat di seluruh Selangor pada Selasa seperti diarahkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Seramai 25 ahli Cabang PKR Sabak Bernam hari ini tampil membuat satu laporan polis selepas Najib didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan negara berdepan tuntutan kira-kira RM67.5 bilion daripada waris Kesultanan Sulu," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar di sini pada Selasa.

Ahmad Mustain yang juga Ketua PKR Cabang Sabak Bernam berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menjalankan siasatan segera berikutan tindakan pengambilalihan aset negara dianggap serius.

"Kami ahli PKR Cabang Sabak Bernam sanggup menggadai nyawa sekiranya kedaulatan negara tercabar dan tidak dipertahankan.

"Hak kedaulatan negara mesti dipertahankan dan jangan jadi seperti Pulau Batu Puteh hingga Malaysia kehilangan milikan buat selamanya," katanya.

Beliau memberitahu, kedaulatan Sabah amat signifikan kerana negeri itu mempunyai keistimewaan dan penyumbang kepada ekonomi negara.

Katanya, terdapat pelbagai masalah timbul sekiranya tuntutan itu dipenuhi kerana ia bukan sahaja tertumpu kepada soal kedaulatan tetapi isu kewarganegaraan.

"Ramai rakyat di semenanjung berkahwin dengan rakyat Sabah dan menetap di sana, begitu juga ramai rakyat Sabah berada di semenanjung.

"Bagaimana nasib mereka ini jika Sabah diserahkan kepada Kesultanan Sulu hingga menyebabkan negara hilang kedaulatan dan rakyat (Sabah) pula terpaksa bertukar kerakyatan yang tentunya mengundang kebimbangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Besar, Jashir Khan berkata, beliau dan pimpinan PKR Cabang Sungai Besar turut membuat satu laporan di Balai Polis Sungai Besar terhadap Najib.

Katanya, laporan itu dibuat berikutan kecuaian Najib yang menyebabkan negara berdepan dengan tuntutan sekitar RM67.5 bilion dari waris Kesultanan Sulu.

"Tuntutan in bermula berikutan keputusan pentadbiran Najib untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu (seperti kehendak perjanjian) pada tahun 2013.

"Sepatutnya, sekiranya beliau tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan," katanya.